Berita

SFC Latih Penduduk Kampung Melayu, Tanjung Bijat Fahami, Pulihara Buaya
Tarikh : 20 Dec 2020  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak
 

SFC Latih Penduduk Kampung Melayu, Tanjung Bijat Fahami, Pulihara Buaya

AHAD, 20 DISEMBER 2020

SRI AMAN: Pendidikan untuk mengenali, memahami dan memulihara buaya adalah penting kepada masyarakat yang tinggal di dalam lingkungan habitat buaya.

Untuk itu, Program Pendidikan, Kesedaran dan Pemuliharaan Buaya anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) diadakan di Kampung Melayu, Tanjung Bijat, Sri Aman.

Berucap dalam program tersebut pada Sabtu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang memberitahu, penduduk di kawasan itu perlu berhati-hati dengan ancaman buaya berikutan majoriti masyarakat di kampung berkenaan bekerja sebagai nelayan dan bergantung kepada hasil perikanan sebagai sumber pendapatan.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan penduduk di situ untuk mengambil peluang mendaftar sebagai pemburu buaya sebagai punca pendapatan lain susulan cadangan kerajaan dalam memberikan lesen membunuh binatang tersebut.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Kuching SFC, Abang Abdul Mutalib Abang Tajudin berkata, SFC akan meneruskan program berkenaan di kawasan lain termasuk 17 kawasan di Samarahan, Lundu, Sematan, Sri Aman, Pusa, Maludam, Tanjung Manis, Mukah, Kampung Jepak, Kampung Nyalau, Sebauh, Tatau, Lawas, Limbang, Niah, Suai dan Sibuti. -EDISI UKAS