Berita

Liga Sri Aman jadi tumpuan
Tarikh : 05 Jan 2021  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 

Liga Sri Aman jadi tumpuan

JADI REBUTAN… Alfred bersama Datuk Francis Harden Hollis merakamkan gambar bersama Piala Pusingan Liga Sri Aman yang bakal menjadi rebutan sembilan pasukan yang telah disingkap tirainya Sabtu lalu.

SAINGAN Liga Sri Aman 2021 yang telah menyingkap tirainya Sabtu lalu telah menyaksikan sebanyak empat perlawanan berlangsung.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA),Alfred Kendim berkata,perlawanan pembuka tirai Liga Sri Aman 2021 menemukan pasukan Azam FC menentang pasukan Japsa FC yang berkesudahan seri 1-1.

“Manakala perlawanan berikutnya iaitu pertemuan pasukan serba muda,
PC United membenam kemaraan pasukan Rimong Crocs United 4-0.

“Disusuli perlawanan pada hari berikutnya (Ahad), skuad bintang Datus United tidak menghadapi masalah untuk menundukkan pasukan The Cops dengan jaringan 4-0.

“Dan perlawanan terakhir pada minggu pertama menyaksikan juara bertahan, Merpati Team bertindak garang apabila membelasah pasukan Japsa FC 8-1,” katanya kepada pemberita semalam.

Alfred berkata, pada minggu kedua iaitu bermula pada 9 dan 10 Januari
ini, sebanyak empat lagi perlawanan akan bakal disaksikan.

“Ia melibatkan perlawanan diantara Azam FC menentang Rimong Crocs, pada 9 Januari (Sabtu), jam 8.30 pagi sebelum pertemuan diantara pasukan
Datus United menentang Englant FC, pada sebelah petangnya, yang dijadualkan berlangsung pada jam 3.45 petang.

“Pada saingan Ahad (10 Januari) pula, dua lagi perlawanan diadakan iaitu pertemuan pasukan Japsa FC bertemu PC United (8.30 pagi), dan Merpati
Team menentang Azam FC yang berlangsung jam 3.45 petang,” ujarnya.

Alfred berlata, kesemua pertandingan ini akan diadakan setiap Sabtu dan Ahad sahaja, dimana dua perlawanan akan dijalankan pada jam 8.30 pagi dan 3.45 petang.

“Kempen Liga Sri Aman 2021 pada kali ini, tampak agak menarik dengan kelibat beberapa pemain handalan seperti bekasbekas pemain Sarawak, Kuching FA serta pemain skuad Piala Presiden dan Belia menyertai pasukan dalam saingan liga musim ini yang memenuhi empat orang kuota pemain import yang boleh diambil daripada bahagian lain di Sarawak.

“Ia sekali gus merupakan petanda positif penganjuran liga kali ini tampak ‘grand’ serta menjadi perhatian dan tumpuan peminat-peminat sukan bolasepak di Sarawak dengan kehadiran mereka ketika ini,” jelasnya.

Liga Veteran Sri Aman 2021 bagi merebut Piala Datuk Francis Harden Hollis menawarkan hadiah lumayan dengan sang juara membawa pulang
hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, naib juara RM3,000, tempat ketiga
pula mendapat hadiah wang tunai RM2,000 dan tempat keempat menerima
hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.

Selain itu , Anugerah Khas turut disediakan kepada pemain terbaik perlawanan akhir, penjaring terbanyak dan Fair Play.

Oleh ADI SAFARMAN