Berita

Vaksin Pfizer Tidak Mempunyai Kesan Sampingan Serius
Tarikh : 01 Feb 2021  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak
 

Vaksin Pfizer Tidak Mempunyai Kesan Sampingan Serius

ISNIN, 1 FEBRUARI 2021

KUCHING: Vaksin Pfizer yang akan digunakan secara berperingkat pada bulan ini di Malaysia secara berperingkat-peringkat tidak mempunyai kesan sampingan serius.

Perkara ini dijelaskan Penasihat Hal Ehwal Kesihatan Awam Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dalam mesej khas yang disiarkan baru-baru ini. 

Katanya, penerima mungkin mengalami sakit yang sedikit di bahagian suntikan.

“Vaksin yang kita beli ialah vaksin berkesan dan selamat. Vaksin seperti Pfizer dan AstraZeneca yang kita peroleh, sudah diuji kepada puluhan ribu sebelum ia diluluskan di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah.

”Vaksin Pfizer didapati mempunyai tahap keberkesanan sehingga 95 peratus. Itu ialah tahap keberkesanan yang sangat tinggi.

“Vaksin ini juga selamat dan tidak menyebabkan kesan sampingan yang serius. Kalau ada pun mungkin sakit sedikit di bahagian suntikan yang diterima seperti biasa di klinik atau hospital,” katanya. 

Dalam pada itu, tambah Dr Jemilah Muzakarah Majlis Kebangsaan Islam turut menetapkan hukum pengambilan vaksin COVID-19 tatkala pandemik ialah harus.

Sehubungan itu, katanya, program imunisasi kebangsaan harus meliputi seramai mungkin rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bagi menjamin keberkesanan vaksin COVID-19.

“Untuk vaksin COVID-19 ini betul-betul berkesan, seramai mungkin rakyat Malaysia berumur 18 tahun yang boleh menerima vaksin ini perlu diimunisasi. 

“Ini kerana semakin ramai diberi vaksin, semakin susah untuk COVID-19 menjangkiti orang dan menyebabkan penyakit COVID-19. Kerajaan akan sediakan vaksin ini secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Walaupun vaksin ini tidak diwajibkan, saya merayu kepada semua yang layak mendapatkan vaksin ini. Mari kita sama-sama putuskan rantaian jangkitan,” tambahnya. 

Ujar Tan Sri Dr Jemilah lagi, kerajaan akan umumkan cara pendaftaran untuk vaksin COVID-19 dalam tempoh terdekat. 

“Ingat, kita bukan saja melindungi diri kita apabila menerima vaksin COVID-19, tetapi kita juga pastikan orang lain selamat. 

“Lindung diri, lindung semua,” ujarnya. -EDISI UKAS