Berita

Naik Taraf Sistem Perparitan Dan Tebatan Banjir Dijangka Selesaikan Masalah Banjir Kilat Di Batu Kawa
Tarikh : 01 Feb 2021  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak
 

Naik Taraf Sistem Perparitan Dan Tebatan Banjir Dijangka Selesaikan Masalah Banjir Kilat Di Batu Kawa

ISNIN, 1 FEBRUARI 2021

KUCHING: Masalah banjir kilat di Batu Kawa dijangka akan dapat diselesaikan apabila siapnya projek menaik taraf sistem perparitan dan tebatan banjir di kawasan ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, projek yang bernilai RM120 juta itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021- 2025). 

“Projek ini merangkumi penambahbaikan sistem perparitan di Jalan Batu Kawa Lorong 1C dan 3, Sungai Moyan, Sungai Surih, Jalan Field Force, Jalan Ketitir, Desa Wira dan kawasan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR). 

“Ia termasuk juga kerja-kerja pemulihan tebingan sungai di Kampung Sinar Budi Baru.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi projek di Jalan Field Force, di sini pada Sabtu.  

Dato Sri Kui Hian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu menambah jaminan itu telah diberikan oleh JPS Sarawak bahawa isu perparitan di Batu Kawa akan pulih selepas projek itu siap.

Hadir sama Penolong Pengarah JPS Sarawak Ir. Jamesy Mijek, wakil syarikat perunding dan rekaan projek Ir. Foo Siang Ning dan Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Batu Kawa Lim Ah Ted. -EDISI UKAS