Berita

Penduduk Di Daerah Kapit Dan Song Kekal Bertenang Dan Patuhi Arahan Pihak Berkuasa Dalam Tempoh PKP Ini
Tarikh : 01 Feb 2021  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak
 

Penduduk Di Daerah Kapit Dan Song Kekal Bertenang Dan Patuhi Arahan Pihak Berkuasa Dalam Tempoh PKP Ini

ISNIN, 1 FEBRUARI 2021

KAPIT: Penduduk di Bahagian Kapit diminta untuk kekal bertenang dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa untuk kekal berada di rumah di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini susulan dari pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Ahad yang mengumumkan pelaksanaan PKP selama dua minggu di Kapit dan Song berkuatkuasa 2 Februari hingga 15 Februari 2021.

Katanya, langkah itu dibuat berikutan peningkatan kes COVID-19 di kedua-dua kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu.

“Saya memandang serius penularan jangkitan COVID-19 di kedua-dua kawasan dan Pejabat Wakil Rakyat Parlimen Kapit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak COVID-19 berjaya dikekang sepenuhnya.

“Wakil saya di Kapit juga akan cuba menyalurkan bantuan yang boleh disampaikan kepada penduduk yang terjejas dan akan sentiasa memaklumkan dan mengemas kini informasi kepada penduduk,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam entri terbarunya di laman Facebook pada Isnin. 

Dato Sri Alexander yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memohon orang ramai khususnya di kawasan Daerah Kapit dan Song unuk tidak melakukan pembelian panik berikutan pengumuman PKP di kedua-dua kawasan. 

“Sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula, semestinya saya juga menyedari situasi pembelian panik yang mungkin akan berlaku di kedua-dua kawasan berikutan arahan PKP yang diumumkan.

“Saya memohon semua penduduk bekerjasama dan mengelakkan ‘panic buying’ kerana situasi itu akan mengeruhkan keadaan.

“Saya juga sudah mengarahkan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak untuk sentiasa memantau keberadaan bekalan barangan keperluan penduduk di kawasan terlibat sepanjang PKP ini,” ujarnya. 

Beliau turut mengingatkan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP juga akan melakukan pemantauan bagi mengelakkan sebarang aktiviti pencatutan oleh peniaga di waktu sukar ini.

Dato Sri Alexander menasihatkan masyarakat supaya meningkatkan kesedaran mengenai amalan pencegahan jangkitan virus ini demi kebaikan semua pihak dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mengamalkan norma baharu terutama membabitkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, sanitasi tangan dan mengelakkan perhimpunan ramai. -EDISI UKAS