Berita

Amaran cuaca buruk, hujan lebat di Sarawak hingga esok
Tarikh : 05 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Amaran cuaca buruk, hujan lebat di Sarawak hingga esok

  •  2021-02-04T17:50:19+08:00
 

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Sarawak melibatkan Kuching, Serian dan Samarahan sehingga esok (5 Feb). 

MetMalaysia dalam kenyataan turut memaklumkan amaran cuaca waspada, dengan hujan lebat dijangka berlaku di Sarawak membabitkan kawasan Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau), juga sehingga esok (5 Feb). 

Kenyataan itu menyatakan dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di Sarawak dan Sabah.

Selain itu, angin kencang daripada timur laut berkelajuan sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak setinggi 3.5 meter juga boleh berlaku di perairan Johor timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah barat dan Sabah timur serta Labuan.

“Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” menurut kenyataan itu. - Bernama