Berita

Tiga tompok letusan dipercayai minyak mentah tidak lagi aktif
Tarikh : 05 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Tiga tompok letusan dipercayai minyak mentah tidak lagi aktif

  •  2021-02-05T00:30:01+08:00
 Mohd Hazmin (kanan) dan Zaki menunjukkan lokasi letusan dipercayai minyak mentah di perairan Kampung Awat-Awat, baru-baru ini.DI SINI: Mohd Hazmin (kanan) dan Zaki menunjukkan lokasi letusan dipercayai minyak mentah di perairan Kampung Awat-Awat, baru-baru ini.


LAWAS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang mengenal pasti tiga tompok letusan dipercayai minyak mentah seperti yang dilaporkan oleh penduduk Kampung Awat-Awat yang tidak lagi aktif.

Ketua Zon Tujuh JBPM Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata, ia hasil pemantauan yang dijalankan anggotanya di lokasi itu sebelum ini.

Beliau juga mahu penduduk Kampung Awat-Awat untuk memantau dan melaporkan segera sekiranya letusan kembali aktif.

“Kita juga meminta ketua komuniti untuk membuat pelan pemindahan bersama dengan pihak bomba selain mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar menghubungi agensi berkaitan untuk menilai letusan tersebut,” katanya pada lawatan ke lokasi letusan minyak tanah di Kampung Awat-Awat kelmarin.

Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong, Penolong Penguasa Bomba JBPM Zon Tujuh Limbang Azman Ibrahim dan Ketua BBP Lawas Zaki Husin.

Jelas Mohd Hazmin lagi, Residen Limbang sebelum ini meminta pihaknya agar membuat pemantauan segera di lokasi hasil perbincangan pada Isnin lepas.

Jelasnya, perjalanan meredah Sungai Limbang menggunakan bot jabatan untuk ke Kampung Awat-Awat mengambil masa satu setengah jam.

Pada 29 Januari lalu, penduduk Kampung Awat-Awat gempar dengan insiden letusan gelembung dipercayai minyak mentah di permukaan air di perairan kampung itu.

Menurut mereka, fenomena tersebut mengukuhkan keyakinan serta menyokong cerita orang tua-tua bahawa perairan Lawas khasnya Kampung Awat-Awat sememangnya mempunyai simpanan minyak mentah.

Malah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa lawatan beliau ke Lawas tahun lalu memberi bayangan Daerah Limbang dan Lawas mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai simpanan rizab minyak dan gas.