Berita

Pupuk kesedaran perangi wabak Covid-19
Tarikh : 05 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 

Pupuk kesedaran perangi wabak Covid-19

FOKUS… Agensi kerajaan dan KMKK ketika mengikut taklimat Program Community Policing: Community Empowerment In Combating Covid-19 Peringkat Daerah Sri Aman 2021 di Pejabat Residen Bahagian Sri Aman.

SIMANGGANG: Usaha memerangi penularan Covid-19 dari kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, Indonesia bukan sahaja terletak di bahu agensi kerajaan malah turut memerlukan kerjasama daripada komuniti penduduk di situ.

Justeru, Program Community Policing: Community Empowerment In Combating Covid-19 Peringkat Daerah Sri Aman 2021 telah pun diadakan di sini bagi mempertingkatkan kesedaran penduduk di kawasan sempadan mengenai pentingnya usaha tersebut sekarang.

“Program siri satu yang berlangsung di bilik mesyuarat Pejabat Residen di sini telah pun melibatkan penyertaan seramai 17 Ketua Masyarakat serta Ketua Kaum (KMKK) dari kawasan Batu Lintang dan Ulu Undop, Sri Aman.

“Ia memberi fokus terhadap usaha memperkasa komuniti di sekitar sempadan daerah ini dan Kalimantan Barat, Indonesia di samping memberi input-input mengenai kepentingan bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani pandemik ini,” kata jurucakapnya.

Selain memberi imput, program ini jelas beliau juga membolehkan kerajaan menyampaikan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu bagi menghadapi pandemik itu terhadap KMKK untuk disampaikan kepada penduduk di kawasan sempadan.

“Program kali ini lebih menekankan kepada kesiapsiagaan KMKK dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk turut serta dengan agensi kerajaan bagi memerangi Covid-19 di sempadan Daerah Sri Aman-Kalimantan Barat.

“Justeru diharap agar program ini dapat menjadikan KMKK dan JKKK sebagai menjadi sekumpulan ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam menyalur maklumat penting terutama sekali berkaitan dengan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke sini,” katanya.

Terdahulu Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee telah pun menyampaikan ceramah ‘Community Empowerment in Combating Covid-19’ dengan Mohamad Khidir Jerawi menyampaikan ceramah mengenai peranan UKPN dan faktor penting kerjasama KMKK dan JKKK dalam memerangi Covid-19.

Manakala, Dr. Aina Syazwani Aziz dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman pula menyampaikan ceramah mengenai Norma Baru Covid-19 manakala Penolong Pegawai Memerintah Batalion 13 RAMD (Kem Pakit), Mejar Alfis Mohammad menyampaikan ceramah mengenai Jenayah Rentas Sempadan/Ops Benteng,

Agensi-agensi yang terlibat program ini adalah Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Pejabat Daerah Sri Aman, Batalion 13, RAMD, Kem Pakit, Unit Keselamatandan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman.

Oleh VALENTINE NGUMBANG