Berita

ATM KOMITED LAKSANA PKP
Tarikh : 05 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 

ATM KOMITED LAKSANA PKP

PERIKSA… Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafl i Mustaffa (kiri) memeriksa kad
pengenalan pemandu dan penumpang sebuah kenderaan.

BAU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus komited dalam menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjalinkan kerjasama erat dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam OP Penawar di seluruh Sarawak.
 
Menurut Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa, operasi ini telah bermula 22 Mac tahun lalu.
 
“Seramai 131 anggota Tentera Darat dari pasukan di bawah naungan 1 Divisyen diaturgerak di 16 lokasi seluruh Sarawak (tiga di Kuching, lapan di Sibu, tiga di Miri dan dua di Bintulu) telah ditugaskan untuk operasi sekatan jalan raya (SJR).
 
“Seramai 102 anggota lagi diatur gerak bersama PDRM bagi melaksanakan rondaan berkenderaan (MPV) di 17 lokasi,” jelasnya ketika membuat tinjauan di SJR Suba Buan, Bau semalam.
 
Tambah beliau, seramai 67 anggota terlibat sebagai Tim Pemantauan Pematuhan di 11 lokasi dan yang terbaru ATM juga membantu mengawal rumah panjang ketika pelaksanaan pengesanan kes aktif (ACD) oleh pihak KKM bermula 21 Januari yang lalu.
 
“Seramai 111 anggota diatur gerak ke 19 rumah panjang di Seri Aman, Serian, Sebauh dan Bintulu dengan jumlah keseluruhan 411 anggota dan 10 pegawai sebagai Pegawai Perhubungan.
 
“Penguatkuasaan PKP juga dilaksanakan di pos sempadan seperti di Pos Serikin, Tebedu, Balai Ringin, Lubuk Antu dan Teluk Melano bersama-sama pasukan PGA dan Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Oleh ASYRAF HALIM