Berita

Sistem Tagang Di Beritem Long Tengoa Antara Yang Berjaya Di Sarawak
Tarikh : 05 Feb 2021  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak
 

Sistem Tagang Di Beritem Long Tengoa Antara Yang Berjaya Di Sarawak

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2021

LAWAS: Sistem Tagang yang diusahakan di kawasan Long Tengoa, Trusan ini merupakan suatu sistem yang baik bagi memelihara dan memulihara ekosistem sungai. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, selain memelihara dan memulihara ekosistem sungai, sistem Tagang ini juga dapat memelihara dan menangkap ikan secara terkawal. 

“Sistem Tagang yang diusahakan bukan sahaja dapat memelihara dan memulihara ekosistem sungai Malah dapat menambah sumber pendapatan penternak dengan penternakan ikan. 

“Ikan-ikan ini tidak ditangkap secara berlebihan sebaliknya, menerusi sistem Tagang, ianya diuruskan oleh komuniti yang mempunyai satu sistem kawalan dengan menggunakan sistem warna iaitu warna merah tidak boleh menangkap ikan, warna kuning setahun sekali sahaja ditangkap dan warna hijau boleh menangkap ikan. 

“Di sini, terdapat ikan tengadak, semah dan beberapa jenis ikan lain yang diternak. 

“Di Sarawak pula hanya terdapat 124 kawasan Sistem Tagang dan antara yang berjaya adalah sistem Tagang Beritem Long Tengoa ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja ke Projek Sistem Tagang, milik Lewi Akom di Long Tengoa, Trusan pada Selasa.

Ujar Datuk Dr Abdul Rahman lagi, pihaknya bercadang mendapatkan dana khas dari Jabatan Pertanian Sarawak sebanyak RM50,000 untuk menaik taraf sistem Tagang di Long Tengoa ini. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah, sistem Tagang di Long Tengoa ini turut dijadikan kawasan pelancongan. 

“Pada tahun 2020, dianggarkan seramai 700 pengunjung telah datang ke kawasan ini yang turut dijadikan kawasan perkelahan. 

“Sehingga kini, kawasan tersebut belum lagi mengenakan sebarang bayaran untuk setiap orang yang datang sebaliknya hanya mengenakan bayaran pada sewaan baju pelampung keselamatan dan jualan makanan ikan. 

“Dengan adanya sistem Tagang ini, kawasan Long Tengoa ini telah dinamakan kawasan Pelancongan Sistem Tagang Beritem,” tambahnya. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Japarudin Ali. -EDISI UKAS