Berita

COVID-19: Hanya ahli jawatankuasa rumah ibadat dibenarkan hadiri upacara sembahyang Tahun Baharu Cina
Tarikh : 08 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

COVID-19: Hanya ahli jawatankuasa rumah ibadat dibenarkan hadiri upacara sembahyang Tahun Baharu Cina 

  •  2021-02-07T16:47:55+08:00
Anggota bomba menjalankan operasi sanitasi di sebuah tokong di bandar raya Kuching. - Gambar fail Anggota bomba menjalankan operasi sanitasi di sebuah tokong di bandar raya Kuching. - Gambar fail


KUCHING: Upacara sembahyang di rumah-rumah ibadat sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2021 hanya dibenarkan untuk ahli jawatankuasa rumah ibadat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataannya hari ini berkata ia antara prosedur operasi standard (SOP) mesti dipatuhi daerah-daerah dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

JPBNS menambah upacara itu boleh diadakan dengan mematuhi ketat SOP dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi Unit Hal Ehwal Lain-Lain Agama (UNIFOR).

"Hanya ahli jawatankuasa rumah ibadat dibenarkan menghadiri atau melakukan upacara ini dan terhad kepada 12 orang tertakluk kepada saiz rumah ibadat.

"Upacara ini hanya dibenarkan diadakan pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina dan wajib mematuhi SOP dikeluarkan oleh JPBNS melalui UNIFOR dikeluarkan pada 3 Oktober 2020."

Antara SOP harus dipatuhi ialah menyediakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan dan menggunakan secair sanitasi tangan serta merekodkan kehadiran penganut serta diwajibkan memakai pelitup muka dan kerap membersihkan tangan.

Pihak rumah ibadat juga perlu kerap melakukan proses pembersihan dan nyah kuman permukaan kerap disentuh, ruang ibadat dan aktiviti yang sukar mengawal keperilakukuan serta keadaan terdapat ramai orang pada satu-satu masa tidak dibenarkan.

PKP di daerah Sibu dilanjutkan dari 30 Januari hingga 14 Februari 2021 berikutan peningkatan membimbangkan kes COVID-19 di daerah itu.

Pada 1 Februari 2021, JPBNS menerusi kenyataan memaklumkan PKP dikuatkuasakan di Kapit dan Song bermula 2 hingga 15 Februari dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 yang menunjukkan peningkatan ketara di kedua-dua daerah tersebut.

Manakala daerah-daerah lain PKPB yang pada mulanya dilaksanakan pada 18 hingga 31 Januari 2021 bagaimanapun dilanjutkan sehingga 14 Februari 2021 memandangkan kes COVID-19 di negeri ini masih tinggi.

Tahun Baharu Cina tahun ini disambut pada 12 dan 13 Februari 2021.