Berita

Cubaan seludup masuk warga asing ke Sarawak gagal
Tarikh : 08 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Cubaan seludup masuk warga asing ke Sarawak gagal

  •  2021-02-07T18:28:30+08:00
KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk warganegara Indonesia yang dalam perjalanan menuju ke Miri menggunakan perkhidmatan bas menerusi Ops Serkap, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kejayaan itu hasil risikan dan maklumat oleh sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Khas (Quick Respond Team) sekitar jam 1.15 pagi di Betong.  

Hasil daripada operasi tersebut katanya, telah membawa kepada penangkapan seramai 19 orang warga asing Indonesia.

“Mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita serta dua orang kanak-kanak.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, kesemua warga asing tersebut didapati bersembunyi di bawah kerusi dan di sebalik timbunan kotak," katanya menerusi kenyataan hari ini.

JPBNS menambah, seramai dua warga tempatan (Sarawak) turut ditahan dalam operasi ini kerana dipercayai bersekongkol dalam penyeludupan mereka ke Malaysia.

“Hasil risikan awal mendapati kesemua warga asing Indonesia yang ditahan telah masuk ke Sarawak melalui jalan hutan dari Lubok Antu.

“Kemasukan mereka dipercayai diuruskan oleh warga tempatan yang bekerjasama dengan ejen warganegara Indonesia dengan jumlah bayaran sekitar RM1,400 hingga RM1,600 seorang,” katanya.

Kesemua warga asing tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen dan Akta Pasport 1966. 

Manakala warganegara Malaysia didapati telah melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007.

Dalam perkembangan lain, JPBNS  berkata, polis Sarawak telah menangkap dua lelaki warganegara Indonesia kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dua lelaki yang ditahan itu , katanya, merupakan penjaga premis hiburan di Bintulu.

“Hari ini juga sebanyak 56 kompaun dikeluarkan melibatkan daerah Bintulu (40), Kuching (12), Padawan (2), Kapit (1) dan Miri (1)  kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Manakala Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak pula telah mengeluarkan 117 notis amaran lisan dan bertulis di bawah seliaan pelbagai pihak berkuasa tempatan,” katanya.