Berita

Vaksin untuk orang muda
Tarikh : 08 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 

Vaksin untuk orang muda

JERMAN menawarkan sokongan termasuk menyediakan lokasi bagi penghasilan vaksin keluaran Russia, Sputnik V sebagai usaha mempercepat vaksinisasi bagi negara Kesatuan Eropah (EU). • Foto AFP


BRUSSELS: Belgium seperti negara lain dalam Kesatuan Eropah (EU), mengehadkan suntikan vaksin Covid-19 keluaran AstraZaneca untuk golongan muda kerana tiada penyelesaian kepada persoalan kesannya ke atas kumpulan berusia.

Menteri Kesihatan, Frank Vandenbroucke, berkata vaksin itu hanya akan diberikan kepada penduduk dewasa berusia 55 tahun ke bawah.

Badan kesihatan negara lain juga mengeluarkan cadangan sama seperti Jerman, Perancis, Austria dan Sweden yang mengehadkan suntikan untuk penduduk 65 tahun ke bawah manakala di Poland untuk 60 tahun ke bawah.

Switzerland, bukan anggota EU menjelaskan pihak berkuasa belum meluluskan vaksin AstraZaneca kerana semua data belum lengkap.

Cadangan negara-negara EU itu berbeza dengan kebenaran yang diberikan oleh Agensi Perubatan Eropah yang membenarkan suntikan vaksin AstraZaneca untuk semua peringkat umur.

Belgium yang mempunyai 11.5 juta penduduk menempah 7.7 juta dos vaksin berkenaan.

EU juga setakat ini sudah membenarkan dua lagi vaksin, iaitu BioNTech/Pfizer dan Moderna.

Belgium sudah pun mencatat 21,000 kematian, antara negara paling teruk dari segi nisbah dengan penduduk.

Sementara itu, Jerman menawarkan sokongan termasuk menyediakan lokasi bagi penghasilan vaksin keluaran Russia, Sputnik V sebagai usaha mempercepat vaksinisasi bagi negara Kesatuan Eropah (EU).

Semalam, jurnal perubatan terkemuka, The Lancet, mengumumkan keberkesanan vaksin berkenaan pada kadar 91.6 peratus bagi kes bergejala.
Ia bagaikan satu kejayaan yang tidak disangka-sangka bagi Presiden Russia, Vladimir Putin, sekali gus menepis keraguan banyak negara yang sebelum ini mempersoal keberkesanannya.

Secara tidak langsung, ia juga mengurangkan tekanan dihadapi Russia berikutan amaran sekatan oleh EU yang membantah tindakan Moscow menjatuhkan hukuman penjara ke atas pengkritik Kremlin, Alexei Navalny.

Selasa lalu, mahkamah memutuskan Navalny, 44, perlu menghabiskan masa dua tahun dan lapan bulan di penjara kerana melanggar syarat hukuman yang ditangguhkan pada 2014 atas tuduhan penipuan.

Dalam pada itu, Canselor Jerman, Angela Merkel, berkata EU mengalu-alukan kemasukan vaksin yang diluluskan oleh Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA).

Katanya, satu perbincangan bersama Putin dibuat pada bulan lalu mengenai cadangan Jerman untuk membantu pengeluaran vaksin dihasilkan oleh Russia.

Jerman turut menawarkan bantuan Institut Paul Ehrlich untuk bersama-sama membantu proses permohonan kepada EMA.

Kebarangkalian untuk vaksin berkenaan diterima amat besar, berikutan kemarahan EU terus meningkat memandangkan proses penerimaan vaksin di Eropah jauh lebih perlahan, berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Israel dan bekas anggotanya, Britain.

Sebelum ini, tiga jenis vaksin dipersetujui untuk dibekalkan ke negara EU, iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna dan AstraZeneca, tetapi berlaku kelewatan daripada aspek penghantaran, pengeluaran dan turut terkait dengan birokrasi politik.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn semalam turut mengesahkan perbincangan dilakukan dengan Moscow bagi mempertingkat kapasiti pengeluaran vaksin Sputnik V di Jerman atau di tempat lain di Eropah.

Bercakap pada satu forum secara dalam talian, Spahn berkata, kerjasama dengan Moscow bersifat ‘membina dan penting” dan menegaskan ia antara satu-satunya cara yang ada bagi membebaskan komuniti dunia daripada pandemik itu. – AFP