Berita

Kerajaan Sarawak prihatin akan komuniti perniagaan
Tarikh : 08 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 

Kerajaan Sarawak prihatin akan komuniti perniagaan


KUCHING: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) mengalu-alukan bantuan dan inisiatif kewangan tambahan sebanyak RM141.7 juta yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Pakej 5.0 Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) baru-baru ini.

Presiden ACCCIS Datuk Tan Jit Kee berkata, inisiatif kewangan tambahan yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu menandakan kerajaan prihatin kepada komuniti perniagaan.

“Terima Kasih kepada kerajaan negeri kerana telah mendengar keluhan dan menyahut keprihatinan masyarakat perniagaan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengenai kesusahan mereka dan kesan yang ditimbulkan oleh Covid -19 pandemik ini.

“Sangat penting untuk melindungi PKS daripada terus menggulung tikar dan tutup perniagaan mereka kerana ini akan mengakibatkan pemberhentian pekerja dan kehilangan pendapatan pekerja serta merugikan pemulihan ekonomi yang tenat ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Sehubungan itu, ACCCIS mendorong anggotanya terutama mereka yang telah kehilangan peluang mendapatkan kemudahan pembiayaan yang disediakan melalui bank perdagangan oleh Bank Negara Malaysia iaitu Kemudahan Bantuan dan Pemulihan bersasar (TRRF).

“Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) merupakan kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memberi bantuan dan sokongan kepada PKS di sektor perkhidmatan (kecuali subsektor pelancongan dan pelancongan) yang terjejas oleh pengenalan semula langkah-langkah penahanan sejak Jun 2020.

“Permohonan TRRF juga diperluaskan kepada PKS yang tidak layak untuk Tabung Bantuan Khas (SRF), Pembiayaan PKS Penjana (PSF) dan Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF).

“Skim TRRF bernilai RM2 bilion yang di peruntukan oleh Kerajaan Pusat untuk PKS di seluruh Malaysia disediakan untuk modal kerja sahaja. Inisiatif TRRF memberikan pinjaman sehingga RM500,000 dengan faedah 3.5 peratus selama 7 tahun, termasuk moratorium 6 bulan.

Katanya, di bawah pakej bantuan kewangan tambahan BKSS 5.0, kerajaan Sarawak akan menyerap kos faedah PKS yang berkelayakan di bawah TRRF selama 3.5 tahun.

“Oleh itu, PKS yang layak dan memerlukan digalakkan untuk segera meminta pinjaman terus dari mana-mana institusi kewangan yang mengambil bahagian,” katanya.