Berita

COVID-19: 219 kes positif, satu kluster baharu di Sarawak
Tarikh : 08 Feb 2021  Sumber Berita: Astro Awani
 

COVID-19: 219 kes positif, satu kluster baharu di Sarawak

Syafik Shukri Jalil
Februari 7, 2021 18:16 MYT
COVID-19: 219 kes positif, satu kluster baharu di Sarawak
Kluster Seruas melibatkan sebuah rumah panjang di Serawong Tengah, Seruas dan kes indeks merupakan kes 4,308 yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala pada 28 Januari 2021. FOTO: Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sarawak melaporkan pertambahan 219 kes positif COVID-19 dengan Sibu kekal melaporkan kes harian tertinggi iaitu 55 kes menjadikan jumlah kes di negeri itu kepada 5,676 kes.
Ia diikuti Song (50), Beluru (35), Miri (32), Kapit (25), Samarahan dan Kanowit (lima), Bintulu (empat), Bukit Mabong (tiga), Betong, Kuching, Lundu, Saratok dan Subis (satu)
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sehingga kini Kluster Pasai masih kekal menyumbang angka tertinggi dengan 71 kes dilaporkan pada Ahad.
“Jumlah keseluruhan kes positif kluster ini meningkat kepada 2,359 kes setakat ini.
“25,500 individu berkaitan kluster ini telah disaring dengan 22,600 disahkan negatif manakala 541 masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.
Selain itu, satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Seruas melibatkan daerah Beluru dilaporkan pada Ahad.
Kluster itu melibatkan sebuah rumah panjang di Serawong Tengah, Seruas, Beluru dan kes indeks merupakan kes 4,308 yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala pada 28 Januari 2021.
“Penularan jangkitan dipercayai berlaku melalui kontak rapat semasa upacara pengebumian di rumah panjang itu pada 25 hingga 27 Januari 2021.
“Sehingga hari ini, 150 individu disaring dengan 59 kes disahkan positif COVID-19 (termasuk kes indeks), 29 individu negatif manakala 62 masih menunggu keputusan ujian saringan,” tambah kenyataan itu.
Justeru, rumah panjang tersebut diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Penambahan Kluster Seruas menjadikan jumlah kluster aktif di Sarawak meningkat kepada 15.
Antara lain dua kematian dilaporkan di Hospital Sibu melibatkan kes 4,527 dan 2,422 menjadikan jumlah kes kematian kepada 50.