Berita

COVID-19: 219 kes positif, dua kematian baharu di Sarawak
Tarikh : 05 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

COVID-19: 219 kes positif, dua kematian baharu di Sarawak 

  • 2021-02-07T17:51:05+08:00


KUCHING: Kes positif baharu COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 219 kes hari ini dengan dua lagi kematian direkodkan di Sibu. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata jumlah keseluruhan kes positif kini meningkat kepada 5,676 kes manakala jumlah kes kematian meningkat kepada 50 kes setakat ini. 

Kes kematian ke-49 katanya melibatkan lelaki tempatan berumur 92 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu pada 30 Januari 2021. 

Saringan ujian rt-PCR katanya dibuat pada 31 Januari 2021 dan didapati positif pada hari yang sama. 

Keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal pada 6 Februari jam 9.49 malam, katanya. 

“Kes kematian ke-50 pula merupakan wanita tempatan berumur 73 tahun yang dirujuk di Hospital Sibu kerana dikesan positif COVID-19 hasil saringan di sebuah pusat jagaan pada 19 Januari 2021. 

“Kes mengalami demam bermula 17 Januari dan ujian dibuat pada 18 Januari serta didapati positif COVID-19 pada 19 Januari 2021. 

“Kesihatan kes merosot dan telah disahkan meninggal pada 6 Februari jam 10.21 malam,” katanya menambah kes turut mempunyai ko-morbid penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok. 

Mengenai kes positif yang dikesan hari ini, daripada 219 kes, Sibu (55),Song (50), Beluru (35), Miri (32), Kapit (25), Samarahan (5), Kanowit (5), Bintulu (4), Bukit Mabong (3), Betong (1), Kuching (1), Lundu (1), Saratok (1) dan Subis (1). 

Terdapat 134 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini dari Hospital Sibu (79), Hospital Miri (24), Hospital Bintulu (11), PKRC di bawah Hospital Kapit (9), Hospital Umum Sarawak (6), PKRC di bawah Hospital Limbang (4) dan PKRC Sipitang, Sabah (1). 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 3,734 orang atau 65.79 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.

Hari ini, seramai 249 orang disyaki (PUI) baru telah dilaporkan dan 36 PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Manakala seramai 541 orang di bawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk di hotel untuk jalani kuarantin.