Berita

Pemuda maut motosikal bertembung pikap di Sri Aman
Tarikh : 15 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Pemuda maut motosikal bertembung pikap di Sri Aman

  •  2021-02-15T12:52:09+08:00
Keadaan motosikal ditunggang mangsa (gambar sisipan) yang rosak teruk akibat kemalangan tersebut.


KUCHING: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah pikap di berhampiran simpang Jaong di Kilometer 72 Jalan Sri Aman-Kuching malam Ahad. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang dikenali Samson Tolan, 21, beralamat dari Kampung Ampungan, Serian disahkan meninggal dunia di tempat kejadiaan. 

"Kemalangan berlaku sekitar jam 7.30 malam di Kilometer 72 Jalan Sri Aman-Kuching melibatkan seorang penunggang motosikal dengan pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun. 

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati penunggang motosikal dari arah Kuching menuju ke arah Sri Aman, apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung pikap terbabit yang datang dari arah Sri Aman menghala ke Kuching," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelasnya, akibat dari kemalangan tersebut, mangsa cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dari Klinik Pantu di lokasi kejadian.

"Kerosakan motosikal di bahagian hadapan dan pikap juga di bahagian hadapan," tambah Alexson. 

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

"Mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Sri Aman dan sampel darah kedua-dua yang terlibat diambil untuk tujuan kimia," katanya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis kini mencari saksi yang berada di tempat kejadian. 

"Tiada saksi bebas dan siasatan lanjut masih dijalankan," ujarnya.