Berita

Pelan Vaksinasi bermula hujung bulan ini di Sarawak
Tarikh : 16 Feb 2021  Sumber Berita: Sarawak Voice
 

Pelan Vaksinasi bermula hujung bulan ini di Sarawak 

-
 @news
 -
February 16, 2021

KUCHING: Pelan Vaksinasi Covid-19 fasa pertama akan bermula pada 27 Februari ini, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing.

Beliau berkata, fasa pertama pelan vaksinasi itu hanya akan melibatkan kesemua petugas barisan hadapan di negeri ini seperti petugas kesihatan, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak dan sebagainya.

“Terdapat 56 pusat yang akan menyediakan perkhidmatan vaksinasi Covid-19 di seluruh Sarawak setakat ini.

“Kesemua pusat ini menyediakan program tersebut dan JKNS akan menyediakan temu janji kepada petugas barisan hadapan agar mereka dapat hadir bagi mendapatkan vaksin tersebut,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, semalam.

Menurut Zin Hing, setiap petugas barisan hadapan perlu mendapatkan dua kali dos suntikan vaksin kerana vaksin yang disediakan itu adalah vaksin Pfizer.

“Selepas mereka mendapatkan dos suntikan pertama, petugas barisan hadapan perlu hadir untuk mendapatkan dos kedua selepas tempoh 21 hari suntikan pertama diberi kepada mereka.

“Ini penting untuk memastikan mereka mendapatkan kedua-dua dos tersebut supaya vaksin tersebut berkesan dengan imunisasi badan mereka,” jelas beliau.

Antara pusat kesihatan yang menyediakan perkhidmatan tersebut termasuk Hospital Bau, Klinik Kesihatan (KK) Singai, Hospital Lundu, KK Stungkor, KK Batu Kawa, KK Jalan Masjid, KK Petra Jaya, KK Sentosa, KK Tanah Puteh dan Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Selain itu, KK Kota Samarahan, Pusat Jantung Sarawak, KK Asajaya, KK Sadong Jaya, Hospital Simunjan, KK Ibu dan Anak (KKIA) Simunjan Bandar, Hospital Serian, KKIA Serian, KK Tebakang, KK Tarat, Hospital Sri Aman, dan KK Lubok Antu.

“Hospital Betong, KK Mid Layar, KK Pusa, Hospital Saratok, Hospital Sarikei, KK Sarikei, KK Bintangor, KK Julau, KK Pakan, Hospital Kapit, KK Kapit, KK Song, Hospital Sibu, KK Jalan lanang, KK Sibu Jaya, KK Selangau, dan Hospital Kanowit,” ujarnya.

Beliau menambah, Hospital Daro, Hospital Mukah, KKIA Mukah, KK Belaga, KK Sungai Asap, Hospital Bintulu, KK Jepak, KK Tatau, Hospital Marudi, Hospital Miri, KK Bandar Miri, KK Batu Niah, Hospital Lawas, KK Lawas dan Hospital Limbang turut menyediakan program vaksinasi Covid-19 fasa pertama itu.

Zin Hing berkata, penambahan untuk pusat vaksinasi akan dilakukan pada fasa kedua dan ketiga program tersebut dan ini termasuk hospital swasta di Sarawak.

Beliau menjelaskan, fasa kedua program vaksinasi Covid-19 akan bermula pada hujung bulan Mac ini yang melibatkan rakyat yang berumur 60 tahun ke atas, mempunyai penyakit serta berisiko kepada Covid-19.

“Bagi fasa kedua, ia akan diberi kepada rakyat berumur 60 tahun ke atas kerana mereka lebih berisiko tinggi.

“Selain itu, rakyat yang berumur 18 tahun dan ke atas serta berisiko tinggi mempunyai penyakit seperti diabetes, hipertensi, kolestrol tinggi juga termasuk dalam fasa kedua.

Sementara itu, untuk fasa ketiga, beliau mendedahkan ia akan melibatkan kesemua rakyat berumur 18 tahun dan ke atas serta tidak mempunyai sebarang penyakit dan sebagainya.

“Daripada jumlah vaksin untuk fasa pertama ini, kita akan dapat memberi suntikan kepada lebih 40,000 barisan hadapan kerana itu adalah bekalan yang pasti sehingga hujung Mac ini.

“Selepas bulan Mac, kita akan mendapat tambahan bekalan vaksin baharu, cuma kita belum dapat memastikan jumlah yang akan diterima setakat ini,” ujarnya lagi.