Berita

Fasa pertama suntikan vaksin COVID-19 di Sarawak bermula 27 Feb ini
Tarikh : 15 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Fasa pertama suntikan vaksin COVID-19 di Sarawak bermula 27 Feb ini

  •  2021-02-15T19:06:46+08:00
Dr Chin pada sidang media perkembangan COVID-19, hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sarawak akan bermula 27 Februari ini melibatkan petugas barisan hadapan. 

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata program imunisasi ini akan dijalankan di 56 pusat vaksinasi di negeri ini. 

“Untuk fasa pertama ia hanya untuk petugas barisan hadapan, anggota perubatan, polis, tentera dan sebagainya. 

“Kita akan beri temu janji kepada mereka untuk mendapatkan dos pertama dan selepas 21 hari mereka akan kembali untuk dos kedua,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini. 

Tambah Dr Chin, semua 56 pusat vaksinasi bagi program imunisasi ini termasuklah Hospital Bau, Klinik Kesihatan (KK) Singai, Hospital Lundu, KK Stungkor, KK Batu Kawa, KK Jalan Masjid, KK Petra Jaya, KK Sentosa, KK Tanah Puteh, Hospital Umum Sarawak, Pusat Jantung, KK Kota Samarahan, KK Asajaya, Hospital Simunjan, KK Ibu dan Anak Simunjan Bandar, Hospital Serian, KK Ibu dan Anak Serian, KK Tebakang dan KK Tarat. 

Pusat lain termasuklah Hospital Sri Aman, KK Sri Aman, KK Lubok Antu, Hospital Betong, KK Mid Layar, KK Pusa, Hospital Saratok, Hospital Sarikei, KK Sarikei, KK Bintangor, KK Julau, KK Pakan, Hospital Kapit, KK Kapit, KK Song, Hospital Sibu, KK Jalan Lanang, KK Sibu Jaya, KK Selangau, Hospital Kanowit, Hospital Daro dan Hospital Mukah. 

Selain itu, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Mukah, KK Belaga, KK Sg Asap, Hospital Bintulu, KK Jepak, KK Tatau, Hospital Marudi, Hospital Miri, KK Bandar Miri, KK Batu Niah, Hospital Lawas, KK Lawas dan Hospital Limbang juga termasuk sebagai pusat vaksinasi bagi program ini. 

Di Sarawak menurut Dr Chin, kira-kira 2.2 juta rakyat negeri ini yang berumur 18 tahun ke atas layak untuk divaksin. 

“Bagi fasa kedua, ia akan melibatkan mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas yang  berisiko tinggi. 

“Begitu juga dengan mereka yang berumur 18 tahun ke atas tetapi ada penyakit seperti diabetis dan sebagainya juga akan dimasukkan dalam fasa kedua. 

“Sasaran kita fasa kedua bermula pada hujung bulan Mac bergantung kepada bekalan vaksin,” katanya menambah fasa ketiga akan melibatkan lain-lain individu pelbagai umur serta tidak berpenyakit. 

Mengenai jumlah kes kematian yang tinggi di Sibu akibat COVID-19, Dr Chin berkata ia adalah disebabkan jumlah kes yang tinggi, faktor umur serta mempunyai penyakit kronik. 

“Kita akan terus menilai statistik kematian yang tinggi ini untuk menurunkan jumlah kes kematian di Sarawak. 

“Pada awalnya ada isu logistik di Sibu yang turut menyumbang kepada kadar kematian tinggi di Sibu, tetapi telah kita selesaikan,” katanya. 

Esok katanya Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan mengumumkan kluster baru melibatkan pusat jagaan warga emas di Sibu yang mana perlu disemak dengan kementerian sebelum dinamakan kluster.