Berita

COVID-19: Satu kematian, 193 kes baharu di Sarawak
Tarikh : 16 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

COVID-19: Satu kematian, 193 kes baharu di Sarawak

  •  2021-02-16T17:36:26+08:00
 

KUCHING: Sarawak merekodkan satu kematian baharu melibatkan jangkitan COVID-19 di Sibu hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian 62 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kes kematian ke-62 melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 83 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam dan kesukaran bernafas. 

Katanya, kes yang berasal dari Nanga Banjor di Daerah Song itu telah menjalani saringan ujian rt-PCR  dan dikesan positif pada 25 Januari 2021.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 15 Februari 2021. Kes juga mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan kencing manis. Kes ini adalah daripada Kluster Pasai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu turut memaklumkan hari ini Sarawak mencatatkan 193 kes positif COVID-19 dengan 105 kes adalah di Sibu diikuti Samarahan (19), Kuching (17), Kapit (17), Bintulu (12), Beluru (7), Julau (6), Song (3), Dalat (3), Miri (2), dan Bau (2).

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 7,025 kes.

“Hari ini juga, terdapat 139 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Sibu (60), Hospital Umum Sarawak (29), PKRC di bawah Hospital Kapit (19), Hospital Bintulu (16), Hospital Miri (11) dan Hospital Sarikei (4). 

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 5,093 orang atau 72.50 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak,”katanya.

Sementara ujar JPBNS lagi, jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital mengikut hospital rujukan adalah seramai 1,842 orang.

Bagi kes individu disyaki (PUI) pula, katanya, hari ini seramai 238 PUI baru telah dilaporkan dan lima (5) PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Manakala seramai 152 individu dibawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin.