Berita

150 pengamal media di Sarawak bakal terima vaksin COVID-19 fasa pertama
Tarikh : 16 Feb 2021  Sumber Berita: Berita Harian Online
 

150 pengamal media di Sarawak bakal terima vaksin COVID-19 fasa pertama

Februari 16, 2021 @ 4:52pm
 Foto hiasan.Foto hiasan.

KUCHING: Sejumlah 150 pengamal media di Sarawak bakal menerima vaksin COVID-19 pada fasa pertama, yang akan bermula 27 Februari ini.

Presiden Gabungan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA), Jacqueline David Impi, berkata wartawan juga dikira sebagai petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa mengira waktu di lapangan, demi membuat liputan.

Beliau berkata langkah kerajaan negeri ini yang memberikan keutamaan kepada wartawan adalah wajar, khususnya bagi mereka yang bertugas di zon yang diisytiharkan zon merah.

"Difahamkan pengamal media antara 40,000 anggota barisan hadapan yang bakal menerima vaksin COVID-19, pada fasa pertama itu kelak.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi keutamaan kepada kami, dan kami mahu dijadikan contoh," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Presiden Persatuan Jurufoto Media Sarawak (SPPA), Mohd Radzi Bujang, berkata usaha gigih kerajaan negeri dalam menangani pandemik COVID-19 amat dihargai, serta disifatkan sebagai menjaga kebajikan rakyat Sarawak.

"Semoga pengambilan vaksin dalam kalangan anggota media dapat melindungi diri sendiri dan orang ramai, daripada jangkitan COVID-19," katanya.

Semalam Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Chin Zin Hing, dilapor berkata lebih 40,000 petugas barisan hadapan di Sarawak dijadual menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi fasa pertama.

Di Sarawak, pemvaksinan dibahagikan kepada tiga fasa, pengagihan mengikut kumpulan sasar yang ditetapkan.

Fasa kedua membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas, dan mempunyai penyakit 'ko-morbid' seperti kencing manis dan darah tinggi, manakala fasa ketiga untuk mereka yang berusia 60 tahun ke bawah yang tidak mempunyai penyakit kronik.

Dijangka seramai 2.2 juta rakyat Sarawak akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini, dan mengumumkan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dijangka tiba di negara ini Ahad depan, serta program imunisasi akan dimulakan secara berfasa bermula 26 Februari. – BERNAMA