Berita

Pelan imunisasi COVID-19 bagi individu 18 tahun ke atas di Sarawak dijadual selesai Ogos tahun ini - Dr Chin
Tarikh : 17 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Pelan imunisasi COVID-19 bagi individu 18 tahun ke atas di Sarawak dijadual selesai Ogos tahun ini - Dr Chin

  •  2021-02-17T16:00:08+08:00
 

KUCHING: Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing (gambar) berkata pelan pelancaran imunisasi COVID-19 Sarawak untuk individu berumur 18 tahun ke atas dijadual selesai Ogos tahun ini sekiranya bekalan vaksin mencukupi.

"Kita merancang memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada kumpulan ini sebelum penghujung Ogos 2021. Bagaimanapun ini bergantung kepada bekalan vaksin yang ada," katanya kepada The Borneo Post hari ini.

Beliau memberitahu ketika ini, hanya vaksin Pfizer Comirnaty diluluskan di bawah Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

Menurutnya empat lagi vaksin COVID-19 berjenama lain yang masih menunggu diluluskan untuk digunakan di Malaysia iaitu Astra Zeneca, Sputnik, SinoVac dan CanSino.

Dr Chin pihak berkuasa akan memberi maklumat kepada orang ramai mengenai perincian pengagihan vaksin COVID-19 antaranya kumpulan mana yang akan mendapat jenama vaksin tertentu.

Beliau menambah ia akan dilakukan selepas NPRA meluluskan lebih dari satu jenis vaksin COVID-19  digunkan di Malaysia.

Setakat Februari 2021, Malaysia telah mengakses kepada vaksin yang mencukupi untuk menyediakan 66.7 juta dos menerusi fasiliti Covax dan pembelian awal dari lima pengeluar vaksin COVID-19, jelasnya.

"Daripada lima pengeluar ini, hanya Pfizer-BioNTech sahaja telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPNA pada 8 Januari 2021, manakala empat lagi masih dalam proses kelulusan," katanya.

Beliau menambah Malaysia akan menerima bekalan secara pukal kesemua lima jenama vaksin COVID-19 tersebut bermula bulan ini secara berperingkat jika ia diluluskan oleh PBKD.