Berita

Jumlah rampasan dadah di Sarawak meningkat 11 peratus Januari 2021
Tarikh : 17 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Jumlah rampasan dadah di Sarawak meningkat 11 peratus Januari 2021

Advertisement
  •  2021-02-17T15:50:48+08:00
Jasmirol (tengah) berkongsi maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance dengan Fatimah (dua kanan) sambil disaksikan yang lain.Jasmirol (tengah) berkongsi maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance dengan Fatimah (dua kanan) sambil disaksikan yang lain.

KUCHING: Jumlah rampasan dadah pelbagai jenis di Sarawak bagi Januari 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 10.92 peratus berbanding Disember 2020.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bagi tempoh Januari 2021, sebanyak 20,686.1 gram (gm) atau 20.68 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dirampas oleh agensi-agensi penguatkuasaan narkotik terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berbanding 18.65 kg pada Disember 2020.

"Sejumlah 20.68 kg dadah pelbagai jenis telah dirampas sepanjang Januari 2021 dengan syabu atau methamphetamine merekodkan jumlah tertinggi iaitu 13.9 kg, ganja (4.8 kg) dan ketamin (1.8 kg).

"Sementara dadah berbentuk pil pula, 1,144 biji dirampas, 709 daripadanya Eramin 5 dan 435 biji lagi pil Nospan. Jumlah rampasan dadah bagi Januari 2021 dianggarkan bernilai RM1.78 juta," katanya pada sidang media mengenai Laporan Bulanan One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) di sini hari ini.

Fatimah berkata bagi Januari 2021, Sarawak merekodkan 712 kes melibatkan 780 tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah dan substance hasil daripada 984 operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan JKDM Sarawak.

Beliau berkata impak rampasan hasil 984 operasi penguatkuasaan sepanjang Januari 2021 di Sarawak, mampu menyekat 207,433 kali penggunaan dadah dan substance terlarang serta menyelamatkan 51,786 individu bagi tempoh sebulan di negeri ini.

Mengenai program operasi/intervensi bersepadu bagi isu dadah dan substance oleh OSC di peringkat daerah Fatimah berkata sepanjang tahun lalu, 127 siri pelbagai program berkenaan dikendalikan iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tahun 2019.

Menurutnya daripada jumlah tersebut, 26 program adaah intervensi berbentuk penguatkuasaan bersepadu dan 101 lagi bukan penguatkuasaan melibatkan 44 program di tempat kerja, 42 dalam komuniti, dan 15 lagi di institusi pendidikan.

"KPI (Petunjuk Prestasi Utama) minimum yang ditetapkan untuk operasi dan intervensi anjuran OSC Daerah pada tahun ini, sekurang-kurangnya empat program setahun atau 160 program setahun bagi semua daerah di Sarawak.

"Dalam pada itu, OCS (MIDS) di peringkat negeri mempunyai perancangan bagi tahun ini antaranya meningkatkan operasi membanteras penyalahgunaan dadah dan substance bagi menyekat pengedarah dadah, meningkatkan intervensi rawatan dan pemulihan individu dan keluarga terjebak dadah dan substance selain meningkatkan program pencegahan dalam komuniti," katanya.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Dr Rashidah Bolhassan; Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial KWKPK, Dr. Zufar Brendan Abdullah; Ketua JSJN Kontinjen Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin, Timbalan Pengarah (Pencegahan) AADK Christopher Billy dan Timbalan Pengarah Penjara Sarawak Fathi Mursidi.