Berita

98 Buah Rumah Panjang Masih Menjalani ‘Lockdown’- Datuk Amar Douglas Uggah
Tarikh : 17 Feb 2021  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak
 

98 Buah Rumah Panjang Masih Menjalani ‘Lockdown’- Datuk Amar Douglas Uggah

RABU, 17 FEBRUARI 2021

KUCHING: Sebanyak 98 buah rumah panjang masih menjalani perintah sekatan pergerakan (lockdown) sejak pandemik COVID-19 dikesan belaku dalam komuniti itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, sebelum ini arahan itu telah dikuatkuasakan ke atas 214 buah rumah panjang dan telah ditamatkan di 116 buah rumah panjang.

“Sejak pandemik COVID-19 dikesan di rumah panjang, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengenakan perintah sekatan pergerakan ‘lockdown’ ke atas 214 buah rumah panjang.

“Daripada jumlah itu, 98 buah masih menjalankan arahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa aplikasi zoom bersama Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting, Pengerusi Majlis Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai, Senator Robert Lau dan Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sibu Chambai Lindong serta kaunselor MDLBS, Augustine Marikan, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN Sarawak menambah, saringan COVID-19 turut dilakukan kepada setiap penduduk malah proses tersebut lebih mudah jika dibandingkan di penempatan yang lebih besar seperti di kawasan bandar.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah terus mengingatkan penduduk rumah panjang untuk bersabar ketika menjalani perintah ‘lockdown’.

“Nasihat saya kepada penduduk di rumah panjang terus duduk di bilik masing-masing.

“Kita maklum adalah sesuatu yang sukar bagi penduduk rumah panjang untuk tidak keluar dalam tempoh 14 hari.

Namun dalam keadaan sekarang, kita perlu patuh arahan agar penularan pandemik ini dapat dikekang,” tambahnya. -EDISI UKAS