Berita

COVID-19: 185 kes baharu di Sarawak
Tarikh : 21 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

COVID-19: 185 kes baharu di Sarawak

  •  2021-02-21T17:40:28+08:00
 

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan 185 kes positif baharu COVID-19 sekali gus sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 7,943.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata, jumlah itu dilaporkan meningkat sebanyak 51 kes iaitu 38.05 peratus berbanding kes semalam. 

“Daripada 185 kes yang dikesan, daerah Sibu mencatatkan kes tertinggi iaitu 82 kes diikuti Kuching (29) dan Kapit (20).

“Sementara Sri Aman mencatatkan 11 kes, Bukit Mabong (10), Bau (6), Bintulu (6), Song (5), Samarahan (4), Miri (4), Kanowit (3), Serian (1), Sebauh (1), Julau (1), Sarikei (1) dan Belaga (1),” katanya.

Jawatankuasa itu menambah hari ini terdapat 195 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Sibu (87), Hospital Miri (57), Hospital Sarikei (20), Hospital Umum Sarawak (15), PKRC di bawah Hospital Kapit (14), Hospital Bintulu (1) dan Hospital Limbang (1).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 5,774 orang atau 72.69 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak,” katanya.

Manakala jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital mengikut hospital rujukan adalah seramai 2,066 orang.

“Hari ini juga seramai 191 individu disyaki (PUI) baru dilaporkan dan tujuh kes PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Sementara seramai 608 individu di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin,” katanya.