Berita

77,000 warga Sri Aman bakal terima vaksin Covid-19
Tarikh : 18 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 

77,000 warga Sri Aman bakal terima vaksin Covid-19

PENJELASAN… Mohd Ashree Wee menerangkan sesuatu kepada media berhubung pelaksanaan Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Peringkat Daerah Sri Aman yang akan bermula penghujung Februari tahun ini hingga Februari tahun hadapan

SIMANGGANG: Sejumlah 80 peratus daripada 77,000 penduduk dalam Daerah Sri Aman ini disasar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, demikian menurut Pegawai Daerahnya, Mohd Ashree Wee.

Menurut beliau, kesemua penerima disasar untuk menerima suntikan vaksin itu bagi fasa ketiga Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Peringkat Daerah Sri Aman yang dijadual bermula dari Mei ini hingga Februari tahun hadapan.

“Empat lokasi telah pun dipilih untuk suntikan vaksin bagi fasa ketiga pada program itu adalah Dewan Suarah Sri Aman, Dewan Masyarakat Lingga, Dewan Sri Pantu dan Dewan Kampung Gua Dalam,” kata beliau ketika ditemui media pada Selasa lepas.

Sementara itu fasa pertama bagi program berkenaan kata Ashree, dijangka melibatkan sejumlah 4,421 orang petugas barisan hadapan di Daerah Sri Aman dan Lubok Antu dalam usaha perlindungan diri daripada pandemik itu nanti.

Daripada jumlah tersebut, 892 individu adalah merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan baki selebihnya terdiri daripada lain-lain agensi kerajaan di sini.

“Kesemua petugas barisan hadapan ini akan menerima suntikan vaksin Covid-19 bersempena dengan program imunisasi itu di klinik kesihatan di sini bermula dari Februari hingga Mei ini,” kata beliau.

Sementara itu fasa kedua iaitu dari April hingga Ogos ini kata beliau, akan melibatkan individu yang mempunyai penyakit berisiko tinggi seperti darah tinggi, kencing manis, asma dan sebagainya.

“Proses imunisasi bagi fasa kedua program ini akan melibatkan seramai 14,401 pesakit berisiko tinggi yang telah didaftar menerusi hospital dan klinik kesihatan dalam Daerah Sri Aman.

“Mereka akan menerima suntikan vaksin itu ketika menjalani rawatan di klinik atau hospital di Daerah Sri Aman,” katanya.

Terdahulu Pejabat Daerah Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman kini sedang melakukan proses pendaftaran penduduk bagi tujuan program imunisasi itu bermula dari 15 hingga 26 Februari ini.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui pengisian Borang Pendaftaran Penerima Vaksin Covid-19 dengan penduduk boleh mendapatkan borang itu daripada Ketua Masyarakat atau Ketua Kaum (KMKK) di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun borang yang hanya terpakai untuk penduduk yang menetap di Daerah Sri Aman itu perlu diserah kembali kepada KMKK masing-masing untuk dihantar kepada Pejabat Daerah Sri Aman jika sudah siap diisi.

Penduduk yang ingin tahu lebih lanjut mengenai proses pendaftaran program ini boleh bertindak menghubungi JawatanKuasa Pengurusan Bencana Daerah Sri Aman di talian 083-322012 / 322013 / 321091.