Berita

Kluster baharu Jalan Muhibbah di Betong hari ini
Tarikh : 23 Feb 2021  Sumber Berita: Sarawak Voice
 

Kluster baharu Jalan Muhibbah di Betong hari ini

-
 @news
 -
February 23, 2021

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan satu lagi kluster baharu yang dikenal pasti sebagai Kluster Jalan Muhibbah di daerah Betong, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kluster itu melibatkan kluster komuniti yang berlaku di sebuah rumah kediaman iaitu Jalan Muhibbah di bandar Betong melalui perhimpunan sosial persendirian pada 10 Februari lalu.

“Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-7,407 iaitu seorang lelaki berumur 50 tahun rakyat Sarawak yang dikesan melalui saringan bergejala pada 16 Februari lalu.

“Kes indeks ini mula mengalami gejala dan menunjukkan tanda pada 14 Februari,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri memberitahu, hasil saringan dan pengesanan kontak rapat kepada indeks kes ini, terdapat tambahan 17 kes positif Covid-19 baharu telah dikesan.

“Sejumlah 110 individu telah disaring iaitu 18 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk indeks kes, 45 individu negatif, dan 47 individu masih menunggu keputusan.

“Kesemua 18 kes tersebut telah dimasukkan ke Hospital Sarikei dan PKRC Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” jelasnya.

Menurut beliau, pertambahan kepada Kluster Jalan Muhibbah, Betong itu sekali gus menjadikan terdapat 25 kluster Covid-19 yang masih aktif di Sarawak.