Berita

MySejahtera kini menyediakan pendaftaran vaksin
Tarikh : 23 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

MySejahtera kini menyediakan pendaftaran vaksin

  •  2021-02-23T18:33:55+08:00
MySejahtera kini membuka pendaftaran untuk vaksin COVID-19.MySejahtera kini membuka pendaftaran untuk vaksin COVID-19. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.

KUCHING: Cara mudah mendaftar untuk vaksin COVID-19, manfaat aplikasi MySejahtera di telefon pintar anda. 

Mulai hari ini MySejahtera mengaktifkan pendaftaran vaksin untuk pengguna aplikasi tersebut.

Kemas kini untuk mengaktifkan ciri tersebut hanya dengan mengemaskini aplikasi samada menerusi Anroid atau iPhone.

MySejahtera adalah antara cara untuk mendaftar vaksin Pfizer- BioNTech Covid-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19.

Pengumuman mengenai kemaskini MySejahtera berkenaan dilakukan dua hari selepas Malaysia menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada hari Ahad lalu.

Cuma klik pada simbol vaksinasi untuk pendaftaran.Cuma klik pada simbol vaksinasi untuk pendaftaran.

Sementara itu  Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada hari Ahad telah mengatakan bahawa  pendaftaran vaksin melalui MySejahtera hanya dapat dilakukan selepas pengemaskinian pilihan dalam aplikasi terbabit.

Bernama pada Jumaat (19 Februari) melaporkan fungsi baharu berkaitan vaksin COVID-19 akan dimasukkan ke dalam aplikasi MySejahtera tidak lama lagi, selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr A. Maheshwara Rao berkata fungsi baharu dalam aplikasi MySejahtera itu merangkumi aspek pendaftaran vaksin, proses vaksinasi dan pemantauan kendiri.

Bagi aspek pendaftaran, vaksinasi juga akan dipaparkan termasuk lokasi menerima suntikan dan pemberian Sijil Imunisasi Vaksin COVID-19 secara digital yang boleh disimpan dalam aplikasi tersebut.

Selain itu katanya, pengguna boleh melakukan pemantauan kendiri untuk memeriksa sekiranya terdapat kesan tidak sesuai susulan imunisasi (AEFI) suntikan vaksin COVID-19 tersebut.

"Semua maklumat berkaitan vaksin dan proses vaksinasi akan dipaparkan dan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Pelaksanaan program imunisasi bermula secara berperingkat mulai esok (24 Februari) dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah menjadi antara yang pertama menerima vaksin COVID-19.

Di Sarawak diharapkan kesemua 2.2 juta penduduk negeri ini akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech pada tahun ini.

Program vaksinasi di negeri ini akan dilancarkan secara rasmi di Stadium Perpaduan di Petra Jaya pada 27 Februari (Sabtu ini) dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjadi yang pertama di Sarawak yang menerima vaksin.

Turut dilaporkan bahawa Sarawak bertujuan untuk mempercepat dan menyelesaikan ketiga-tiga fasa vaksinasi percuma menjelang Ogos tahun ini.

Fasa pertama program vaksinasi adalah dari akhir bulan ini hingga April untuk 97,000 barisan depan, manakala fasa kedua dan ketiga adalah dari akhir Mac hingga Ogos tahun ini, untuk 929,000 individu dalam kumpulan berisiko tinggi dan 992,000 individu berusia 18 tahun dan ke atas.