Berita

Satu kluster COVID-19 dikesan di Betong, Kluster Bah Sayap Miri tamat
Tarikh : 23 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Satu kluster COVID-19 dikesan di Betong, Kluster Bah Sayap Miri tamat

  •  2021-02-23T18:25:08+08:00
 

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengisytiharkan satu kluster baharu di Betong iaitu Kluster Jalan Muhibbah, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Jawatankuasa dalam kenyataan berkata kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-7,407 iaitu seorang lelaki berumur 50 tahun warga tempatan (Sarawak) yang dikesan melalui saringan bergejala pada 16 Februari 2021. 

“Kes indeks ini mula mengalami gejala dan menunjukkan tanda-tanda pada 14 Februari 2021 dan hasil saringan dan pengesanan kontak rapat kepada indeks kes ini, tambahan 17 kes positif COVID-19 baharu telah dikesan. 

“Sejumlah 110 individu telah disaring di mana 18 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks sementara 45 individu negatif dan 47 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

JPBNS berkata, kesemua 18 kes tersebut telah dimasukkan ke Hospital Sarikei dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Selain itu menurut JPBNS, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga telah mengisytiharkan kluster Bah Sayap di daerah Miri sebagai kluster tamat setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh kes terakhir dikesan.

“Sejumlah 1,047 individu disaring, iaitu 96 kes dikesan positif COVID-19 dan 951 individu negatif. 

“Kesemua 96 kes melibatkan kluster ini telah didiscaj dan dibenarkan pulang dan tiada kematian dilaporkan melibatkan kluster ini,” katanya.

Dengan itu, sehingga hari ini terdapat 25 kluster yang masih aktif di Sarawak. Selain Kluster Jalan Muhibbah di Betong, Kluster Emperoh Jambu di Kuching hari ini merekodkan penambahan 10 kes yang menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 70 kes. 

Daripada kluster berkenaan sejumlah 337 individu telah disaring dimana, 90 negatif dan 177 masih menunggu keputusan makmal.

Turut merekodkan penambahan kes, Kluster Sungai Bakong, Meradong dengan 35 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 57 dan sejumlah 621 individu telah disaring dimana, 73 negatif dan 491 masih menunggu keputusan makmal. 

“Bagi Kluster Univista terdapat penambahan empat kes, Kluster Sungai Maong (penambahan 1 kes), Kluster Kidurong Dua, Bintulu (penambahan 1 kes), Kluster Nanga Lijan, Julau (penambahan 6 kes), Kluster Seruas, Beluru (penambahan 1 kes), Kluster Rakut, Miri (penambahan 2 kes) dan Kluster Pasai, Sibu (penambahan 2 kes).

Manakala Kluster Jalan Green (Kuching), Kluster Kejatau (Sri Aman), Kluster Jan Yong (Kapit), Kluster Geronggang (Sibu), Kluster Mas Merah (Sibu), Kluster Gelong (Kapit), Kluster Sebangkoi (Sri Aman), Kluster Jun Heng (Bintulu), Kluster Bintang Daily (Meradong) dan Kluster Jalan Pengiran (Matu), kesemuanya tidak merekodkan penambahan kes.

Turut tidak merekodkan penambahan kes hari ini, Kluster Tabong (Bau), Kluster Indah Riang (Kuching), Kluster Bedayan (Serian), Kluster Bukit Sekubong (Sebauh), Kluster Jelita (Miri) dan Sub-Kluster Tangap (Subis).