Berita

Keperluan Petugas Barisan Hadapan Jadi Keutamaan
Tarikh : 23 Feb 2021  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak
 

Keperluan Petugas Barisan Hadapan Jadi Keutamaan

SELASA, 23 FEBRUARI 2021

DEBAK: Keperluan petugas barisan hadapan sentiasa diberikan keutamaan dalam memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan efektif melindungi kawasan di Sarawak khususnya di daerah Debak dari penularan jangkitan wabak COVID-19.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam, meskipun Debak berada dalam zon hijau, pihaknya akan terus memberikan sokongan moral kepada barisan hadapan serta menyeru semua penduduk di kawasan itu untuk sentiasa kekal mematuhi arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat menyampaikan cek sumbangan kepada barisan hadapan di Klinik Kesihatan Daerah Kecil Debak pada Isnin.

Sumbangan tersebut merupakan salah satu inisiatif dari Ahli Parlimen Betong dan ADUN Saribas bagi membantu meringankan beban kos pengurusan yang berkaitan susulan pandemik COVID-19.

Mohammad Razi turut berbincang dengan pihak panel penasihat kesihatan, Eddie Entalai mengenai keperluan insfrastruktur yang perlu dibangunkan di klinik tersebut.

Beliau kemudiannya menyertai pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) meninjau rumah pemohon Projek Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) bagi tahun 2021 di Kampung Sebemban, Spaoh Betong.

Menurutnya, sebanyak 40 buah rumah dalam kawasan DUN Saribas telah diluluskan subsidi meter elektrik di bawah Projek ALAF 2021 pada tahun ini.

“Saya berharap semua permohonan yang sebelum ini masih lagi belum mendapat kelulusan agar segera diproses supaya lebih ramai isi rumah dapat menikmati kemudahan asas ini dengan kadar segera.

“Terima kasih dan syabas kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak kita kerana Projek ALAF ini merupakan salah satu daripada inisiatif Kerajaan GPS dalam menyediakan kemudahan kepada rakyat di Sarawak amnya,” katanya.

Mohammad Razi turut berkesempatan meninjau projek naiktaraf gelanggang futsal Kampung Sebemban yang telah siap dibina bumbung dengan kos sebanyak RM200,000.

Sebagai tambahan, beliau memaklumkan gelanggang futsal itu akan dibaikpulih (resurface) melalui projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan peruntukan sebanyak RM50,000.  

Turut hadir Ketua Kampung Sebemban Merawi Lepor, Pengerusi Parti Kampung Sebemban dan Ranting Wanita Kampung Sebemban. – EDISI UKAS