Berita

Pergerakan di antara zon di Sarawak: Yang dibolehkan, tak dibolehkan
Tarikh : 28 Feb 2021  Sumber Berita: Sarawak Voice
 

Pergerakan di antara zon di Sarawak: Yang dibolehkan, tak dibolehkan 

-
 @news
 -
February 28, 2021

KUCHING: Bagi anda yang berhasrat untuk melakukan perjalanan di antara zon di negeri ini, tunggu dahulu.

Hal ini, kerana menurut  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), pergerakan  di antara zon tidak dibenarkan sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa dari 2  Mac hingga 15 Mac ini bagi membendung penularan Covid-19 di negeri ini.

Semalam Sarawak merekodkan 255 lagi kes positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 9,374 kes setakat ini.

Namun, katanya, bagi perkhidmatan perlu mereka diizinkan untuk membuat pergerakan di antara zon dengan permit polis.

Jelasnya, pergerakan di dalam zon masing-masing  dibenarkan kecuali ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian adalah mengikut kapasiti kenderaan. Namun individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak,” katanya.

“Manakala bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan dan perkhidmatan perlu serta rantaian ekonomi/industri bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan perdagangan,” katanya.

Katanya lagi, bagi pergerakan kenderaan persendirian, jabatan kerajaan atau syarikat swasta bagi tujuan pergi dan balik dari tempat kerja atau menjalankan urusan rasmi kerajaan  bergantung kepada kapasiti tempat duduk kenderaan tersebut.

Manakala aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi.

“Untuk perkhidmatan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, feri, kapal terbang, teksi/e-hailing dan  pengangkutan awam lain dibenarkan beroperasi (waktu operasi adalah seperti ketetapan) dan berdasarkan kapasiti kenderaan.

“Perkhidmatan penghantaran makanan juga dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam sepanjang tempoh lanjutan PKPB,” jelas JPBNS lagi.