Berita

Nyawa rakyat lebih penting daripada PRU-12, kata Abang Johari
Tarikh : 28 Feb 2021  Sumber Berita: Sarawak Voice
 

Nyawa rakyat lebih penting daripada PRN-12, kata Abang Johari

-
 @news
 -
February 28, 2021

KUCHING:  Untuk ketika ini tumpuan Kerajaan Sarawak adalah terhadap kesihatan rakyat dengan komited memastikan penyebaran virus Covid-19 dapat dibendung.

Jasdi, pilihan raya negeri dapat dikesampingkan dahulu.

Sebab, menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, nyawa rakyat lebih utama dan penting daripada PRN-12.

Ketua Menteri  berkata negara kini dalam tempoh perintah darurat dan PRN akan hanya diadakan selepas tempoh itu.

“Kita masih lagi dalam tempoh darurat.

“Pilihan raya boleh dilakukan bila-bila masa namun nyawa hanya sekali.” tegasny.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis Pelancaran Program Imunisasi Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan, di sini pada Sabtu.

Menurut beliau,  Kerajaan Negeri ketika ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesihatan rakyat Sarawak dalam memerangi wabak pandemik Covid-19.

Untuk rekod, tempoh matang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan tamat pada 6 Jun 2021 dan PRN ke-12 harus diadakan dalam masa 2 bulan selepas itu

Katanya, berulang kali, pihaknya sentiasa memastikan yang terbaik untuk kesihatan rakyat Sarawak.

“Itulah sebabnya kita tak fikirkan perkara lain. Kita utamakan kesihatan rakyat terlebih dahulu,” tegasnya lagi.

Pada Disember lalu beliau berkata sepatutnya PRN-12 Sarawak telah diadakan, tetapi disebabkan kerajaan  mendahulukan kesihatan rakyat, maka ia terpaksa ditangguhkan.

Sebelum ini terdapat ura-ura bahawa PRN-12 diadakan pada bulan  Disember.

“Kesihatan rakyat lebih penting daripada pilihan raya. Jadi rakyat perlu bersabar semoga keadaan negeri kita bertambah baik,” kata beliau ketika berucap di Dalat hampir tiga bulan lalu.

“Sebelum ini saya sudah nak palu beduk PRN-12, namun keinginan itu terpaksa ditunda kerana Covid-19,” jelasnya waktu itu.