Berita

60,148 penduduk Sri Aman sudah dapat vaksin dos pertama
Tarikh : 16 Aug 2021  Sumber Berita: Sarawak Voice
 

SRI AMAN: Seramai 60,148 atau 86.71 peratus penduduk Bahagian Sri Aman yang layak divaksinasi telah menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 setakat 9 Ogos 2021.

Manakala seramai 54,379 lagi penduduk pula telah menerima dos kedua berdasarkan data dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman dalam tempoh yang sama.

Tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Sri Aman pada Jumaat mendapati suasana lengang apabila petugas kesihatan hanya menunggu kehadiran individu yang datang secara hadir terus atau ‘walk in’.

Berdasarkan permohonan Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Euphrasia Bari kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman pada 12 Ogos lepas, beliau mencadangkan agar operasi ketiga-tiga PPV statik tersebut ditamatkan secara berperingkat bermula 27 sehingga 30 Ogos 2021.

Tumpuan utama kini adalah pemberian dos pertama bagi kes-kes ibu hamil yang layak divaksin, kes postnatal, penduduk-penduduk yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta kes-kes tertentu yang menyebabkan keciciran.

Program Outreach atau ‘Mopping’ dan ‘Mini PPV’ telah ditamatkan di Bahagian Sri Aman di mana sebanyak 137 lokaliti berjaya diakses.