Berita

963 kes COVID-19 di Sarawak, 839 tidak bergejala
Tarikh : 16 Aug 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Kes harian COVID-19 di Sarawak meningkat lagi hari ini dengan 963 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini kini 87,006 kes. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata Kuching merekodkan kes harian tertinggi 510 kes hasil pengesanan aktif yang giat dijalankan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching. 

Samarahan merekodkan kes harian kedua tertinggi 119 kes diikuti Serian (103), Betong (44), Bau (33), Sibu (25), Sri Aman (22), Bintulu (19), Simunjan (18), Mukah (12), Tebedu (12) dan Asajaya (10). 

Lain-lain kes dikesan di Kabong (6), Tatau (6), Belaga (4), Meradong (4), Miri (3), Kanowit (3), Lundu (2), Kapit (2), Song (2) dan masing-masing satu kes di Selangau, Dalat, Sebauh dan Telang Usan. 

“Daripada 963 kes yang dilaporkan, 839 daripadanya merupakan kategori 1 tidak bergejala, 122 kes kategori 2 bergejala ringan dan masing-masing satu kes kategori 4 (jangkitan paru-paru) dan kategori 5 (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator),” katanya. 

Tambah JPBNS, dua daripada 963 kes yang dilaporkan merupakan kes Import A iaitu individu balik dari Indonesia dan satu kes Import B individu balik dari Sabah. 

Manakala 670 kes lagi merupakan individu yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19, 82 kes individu dalam kluster aktif sedia ada, 73 kes saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan dan 135 kes lain-lain saringan di fasiliti kesihatan. 

“Terdapat empat kes kematian melibatkan dua lelaki dan dua perempuan tempatan berumur antara 71 hingga 83 tahun. 

“Kesemua empat kes kematian ini dilaporkan di Hospital Umum Sarawak dengan dua daripada kes berasal dari Kuching dan masing-masing satu kes berasal dari Simunjan dan Serian,” katanya menambah jumlah keseluruhan kes kematian akibat COVID-19 di Sarawak kini meningkat kepada 486 orang. 

Mengenai status kes COVID-19 di wad hospital dan pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah COVID-19 (PKRC), terdapat 709 kes pulih hari ini menjadikan jumlah yang pulih kini meningkat kepada 78,044 orang dengan jumlah kes masih aktif 8,293 kes. 

JPBNS turut memaklumkan semua premis atau pejabat yang didapati mempunyai risiko jangkitan COVID-19 akan diarahkan tutup untuk pembersihan. 

Manakala semua kontak yang terdedah akan dibuat saringan serta diberikan arahan kuarantin. 

Setakat ini katanya enam kilang dan masing-masing sebuah tadika, kedai makan dan pasar raya di Kuching masih dalam arahan penutupan selama 14 hari di bawah Akta 342 kerana mempunyai risiko transmisi di tempat kerja. 

Selain itu terdapat juga premis yang ditutup secara sukareka dan dalam pemantauan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.