Berita

COVID-19: Sarawak catat kes harian tertinggi dengan 1,566 kes
Tarikh : 17 Aug 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sarawak merekodkan 1,566 kes baharu COVID-19 hari ini, iaitu angka harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negeri ini Mac tahun lalu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Kuching kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 731 diikuti Bau (238), Lundu (175), Serian (84), Samarahan (44), Betong (40), Sibu (37) dan Miri (34).

Lain-lain kes turut dikesan di Bintulu (29), Subis (29), Song (27), Mukah (19), Sri Aman (17), Asajaya (12), Selangau (9), Tebedu (8), Pusa (7), Lubok Antu (6), Dalat (6), Tatau (6), Saratok (5), Beluru (2) dan Lawas (1).

Dengan pertambahan kes itu, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak kini 88,572.

“Daripada kes baharu yang dilaporkan hari ini, 1,314 merupakan kes kategori 1 iaitu tiada gejala dan 250 kes kategori 2 (gejala ringan). 

“Manakala dua kes merupakan kategori 5 (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator),” katanya dalam kenyataan hari ini

JPBNS turut memaklumkan satu lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini seramai 487 orang. 

Kematian itu katanya, melibatkan lelaki berumur 73 tahun yang dilaporkan meninggal di Hospital Umum Sarawak.

“Hari ini juga terdapat 513 kes pulih dan dibenar discaj manakala jumlah kes masih aktif dan mendapat rawatan serta diasingkan di wad hospital dan pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah sebanyak 9,345 kes,” katanya.

Sementara itu, daerah Song dan Pusa telah bertukar ke status jingga daripada kuning setelah masing-masing merekodkan 32 dan 22 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lalu.

“Ini menjadikan bilangan daerah berstatus jingga di Sarawak sebanyak enam dan sembilan daerah kuning.

“Manakala daerah berstatus merah sebanyak 20 dan lima daerah berstatus hijau,” katanya.