Berita

Jawatankuasa One Stop Committee Daerah Sri Aman & AADK Bantu OKP Yang Terkesan Akibat COVID-19
Tarikh : 17 Aug 2021  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak
 

RI AMAN: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sri Aman berkolaborasi dengan beberapa agensi melalui Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) Daerah Sri Aman mengadakan program yang bersifat mesra Orang Kena Pengawasan (OKP) iaitu ‘Home Visit Seruan Kasih & Bakul Makanan Klien OKP Sri Aman’ di sini pada Ahad.

Program yang bertemakan ‘Rezeki Yang Sedikit Disyukuri, Yang Banyak Dikongsi’ bermatlamat untuk membantu golongan OKP yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Perasmian program telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Asree Wee yang juga pengerusi Jawatankuasa OSC bagi Daerah Sri Aman.

“Program ini sebenarnya amat bermakna kerana bersifat kerohanian yang mewujudkan kesedaran kepada klien AADK bahawa mereka tidak dipinggirkan semasa pandemik ini.

“Apabila agensi dan masyarakat terus prihatin serta tidak berpandangan prejudis terhadap OKP ianya sedikit sebanyak mengurangkan beban tekanan emosi yang dihadapi OKP sehingga menjadi punca kepada mengapa mereka kembali terjebak,” katanya.

Dalam program itu, pihak penganjur telah menyantuni seramai 15 OKP di sekitar Daerah Sri Aman.

Mohd Asree menambah, masyarakat perlu membuang stigma menjauhkan diri daripada pesalah dadah yang sudah insaf bagi mengelakkan mereka kembali terjerumus dalam jenayah itu.

Terdahulu Ketua Pegawai AADK Daerah Sri Aman, Maulana Mohin menyatakan program itu juga antara lainnya turut mendidik klien agar tidak lagi terlibat dengan dadah selain mengurangkan beban emosi klien yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini. -EDISI UKAS