Berita

1,403 kes baharu, dua kematian di Sarawak
Tarikh : 19 Aug 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Kes jangkitan harian COVID-19 di Sarawak terus meningkat hari ini dengan 1,403 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 90,810 kes setakat ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata, 1,159 daripada kes tersebut merupakan kategori 1 iaitu tiada gejala. 

Manakala 240 kes katanya merupakan kategori 2 (gejala ringan) dan masing-masing dua kes kategori 4 (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan kategori 5 (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

“Daerah Kuching kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 557 kes diikuti Serian (247), Samarahan (228), Bau (99), Tebedu (49), Sibu (34), Pusa (33), Bintulu (25), Lundu (22), Sri Aman (22) dan Simunjan (20).

“Lain-lain kes dikesan di Selangau (16), Tatau (11), Mukah (8), Subis (6), Betong (5), Miri (4), Sebauh (4), Beluru (4), Asajaya (3), Kabong (2), Kapit (2) dan Lubok Antu (2),” katanya hari ini.

JPBNS turut memaklumkan dua kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian kini seramai 491 orang.

“Kematian ini melibatkan lelaki dan perempuan tempatan yang masing-masing berumur 71 dan 88 tahun. 

“Kedua-dua kes dilaporkan meninggal di Hospital Sibu dan Hospital Umum Sarawak,” katanya.

Terdapat 1,063 kes pulih dan dibenar discaj hari ini manakala jumlah kes yang masih aktif dan mendapat rawatan serta diasingkan di wad hospital dan PKRC sebanyak 9,936 kes.

Dalam pada itu, daerah Beluru telah bertukar ke status merah daripada jingga setelah merekodkan 41 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus merah meningkat kepada 22 manakala empat daerah berstatus jingga, 10 daerah berstatus kuning dan empat daerah berstatus hijau,” katanya.