Berita

COVID-19: Sarawak rekod 1,538 kes baharu, tiga kematian hari ini
Tarikh : 24 Aug 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sarawak hari ini masih mencatatkan jangkitan harian COVID-19 empat angka iaitu 1,538 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini kini, 99,383.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya berkata 99.74 peratus kes adalah daripada kategori 1 dan 2, manakala satu kes bagi kategori 3 dan tiga kes kategori 5.

Menurut JPBNS kategori 1 adalah kes tidak bergejala, kategori 2 bergejala ringan, kategori 3 pula pesakit mengalami jangkitan paru-paru, kategori 4 jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen manakala kategori 5 kes mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator.

"Daerah Kuching merekodkan kes tertinggi iaitu 615 diikuti Serian (129), Lundu (115), Samarahan (103), Pusa (102), Pakan (51), Bau (47), Belaga (44), Sibu (42) dan Bintulu (33).

"Daerah lain yang turut merekodkan kes positif COVID-19 hari ini ialah Sri Aman (22) Subis (21), Selangau (21), Song (20), Miri (16), Betong (16), Tebedu (11), Asajaya (10), Lubok Antu (9), Meradong (9), Kanowit (7), Sarikei (6), Saratok (6), Tatau (6), Sebauh (5), Lawas (3), Beluru (2), Kapit (1) dan Kabong (1)," katanya.

JPBNS juga memberitahu daripada 1,528 kes positif COVID-19 direkodkan hari ini empat merupakan kes Import A membabitkan warga Indonesia manakala lima Import B iaitu dua dari Sabah dan tiga lagi dari Kuala Lumpur.

Manakala 876 merupakan individu yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19, 288 individu dalam kluster aktif sedia ada, 85 lagi saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan dan 280 daripada lain-lain saringan di fasiliti kesihatan.

"Pada hari ini, tiga kes kematian melibatkan COVID-19 iaitu kes ke-499 merupakan seorang lelaki berumur 69 dari Kuching meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS). Kes disahkan positif COVID-19 pada 7 Ogos 2021 dan ada ko-morbid seperti darah tinggi, dislipidemia, gout, dan penyakit buah pinggang kronik.

"Kes kematian ke-500 juga dari Kuching, seorang lelaki berumur 80 di HUS dan disahkan positif COVID-19 pada 31 Julai 2021. Kes tiada ko-morbid manakala kes ke-501 melibatkan seorang lelaki, 86 dari dari Daro yang disahkan positif COVID-19 pada 21 Ogos 2021, beliau juga tiada ko-morbid," jelasnya.

Sementara itu JPBNS memberitahu setakat Isnin, jumlah kumulatif kes telah pulih dan dibenarkan dicaj dari hospital di negeri ini ialah 82,956 kes atau 83.09 peratus selepas 435 kes pulih dan discaj hari ini.