Berita

Tiga lagi kluster diisytiharkan di Sarawak
Tarikh : 24 Aug 2021  Sumber Berita: Sarawak Voice
 

KUCHING: Tiga lagi kluster Covid-19 diisytiharkan di Sarawak dengan dua daripadanya kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)   berkata ini menjadikan 117 kluster aktif di Sarawak setakat ini  —  22 kluster merekodkan penambahan kes baharu sebanyak 288 kes.

Katanya dalam satu kenyataan,  ketiga-tiga kluster berkenaan masing-masing satu di Subis, Pakan dan Sri Aman.

Kluster Mas Sawai di Subis  ialah kluster tempat kerja melibatkan sebuah ladang kelapa sawit di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Daripada 295 orang yang disaring, 15 orang  positif termasuk kes indeks manakala 280 individu masih menunggu keputusan,  dan sembilan kes baharu dilaporkan hari ini,” katanya.

Katanya lagi, kesemua kes dalam kluster ini menerima rawatan dan diasingkan di Hospital Miri dan Pusat Kuarantin Rawatan dan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) di daerah Miri.

“Kluster Nansang Tugong, Pakan ialah kluster komuniti membabitkan penduduk di sebuah rumah panjang  di kawasan Nansang Tugong, Pakan, Sarikei,’ jelasnya.

“Sebanyak 62 orang disaring dengan 51 orang didapati positif termasuk kes indeks sementara 11 individu didapati negatif dan 45 kes baharu dilaporkan hari ini,” katanya.

Kata JPBNS lagi, kesemua kes yang terlibat dalam kluster ini menerima rawatan dan diasingkan di Hospital Sarikei dan PKRC di daerah Sarikei.

Bagi Kluster Jalan Hospital di Sri Aman,  ia merupakan kluster tempat kerja melibatkan pesakit dan kakitangan kesihatan di sebuah fasiliti kesihatan yang terletak di daerah itu.

Jelasnya, daripada 217 orang yang disaring, 17 orang didapati positif termasuk kes indeks, sementara 196 orang didapati negatif dan empat orang masih menunggu keputusan makmal.

“Kesemua kes yang terlibat dalam kluster ini menerima rawatan dan diasingkan di Hospital Sri Aman dan PKRC di daerah Sri Aman,” jelasnya.