Berita

COVID-19: Kes baharu 1,543, jumlah kumulatif lebih 100,000
Tarikh : 25 Aug 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sarawak ketika ini merekodkan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 101,381 dengan 1,543 kes baharu dikesan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya berkata daripada 1,543 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, 1,541 atau 99.87 peratus adalah kategori 1 (tiada bergejala) dan 2 (gejala ringan) manakala dua kes kategori 5 ( jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

Daerah Kuching terus merekodkan jumlah tertinggi kes baharu COVID-19 tertinggi iaitu 812 diikuti Subis (142), Bau (74), Samarahan (68), Mukah (54) , Serian (53), Belaga (49), Sibu (47), Pusa (45) dan Bintulu (44), katanya.

JPBNS menambah daerah lain yang turut melaporkan kes baharu COVID-19 hari ini ialah Selangau (37), Miri (15), Asajaya (15), Saratok (11), Betong (8), Song (8), Simunjan (7), Beluru (7), Tebedu (7), Kapit (6), Lundu (6), Sri Aman (5), Sarikei (5), Dalat (4), Tatau (3), Matu (3), Lubok Antu (2), Lawas (2), Limbang (2), Kanowit (1) dan Pakan (1).

"Individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19 penyumbang terbesar kepada kes baharu hari ini iaitu sebanyak 819 manakala 356 kes melibatkan individu dalam kluster aktif sedia ada, 86 pula daripada saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan dan 278 lain-lain saringan di fasiliti kesihatan.

"Empat lagi kes baharu hari ini merupakan Import B iaitu dua dari Sabah dan satu masing-masing dari Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.

JPBNS berkata bilangan kematian akibat COVID-19 di Sarawak ketika ini meningkat kepada 503 selepas dua lagi kes dilaporkan hari ini.

Menurutnya, kes kematian ke-502 merupakan seorang wanita, 80, dari Bintulu yang disahkan positif COVID-19 pada 16 Ogos 2021 dan meninggal dunia di Hospital Bintulu. Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan penyakit jantung.

"Kes kematian ke-503 pula membabitkan lelaki, 75 tahun dari Kuching yang meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan disahkan positif COVID-19 pada 6 Ogos 2021.

"Mangsa mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi da dislipidemia," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, JPBNS berkata pada hari ini 1,545 kes telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital menjadikan jumlah keseluruhannya setakat ini 84,500 atau 83.35 peratus.

Setakat ini juga katanya terdapat 16,188 kes COVID-19 yang masih aktif di negeri ini.