Berita

COVID-19: Sarawak rekod 1,667 kes baharu, lima kematian
Tarikh : 26 Aug 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 1,667 kes baharu positif COVID-19 dengan lima kematian dicatatkan, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, daripada jumlah kes baharu itu 99.88 peratus kes adalah daripada kategori 1 dan 2. 

JPBNS berkata manakala masing-masing satu kes bagi kategori 4 dan kategori 5. 

“Daripada 1,667 kes baharu daerah Kuching merekodkan kes harian tertinggi iaitu 620 kes, diikuti Samarahan (151), Bau (139), Sibu (125) dan Lundu (118).

“Sementara daerah lain turut merekodkan kes, Serian (71), Pusa (61), Bintulu  dan Belaga (53), Mukah (44), Selangau (38), Song (33), Simunjan (26), Sri Aman (25), Subis (21), Miri dan Kapit (16) serta Tebedu (11),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Antara lain Asajaya merekodkan 8 kes, Beluru (5), Sarikei dan Sebauh (3), Betong, Matu, Kanowit dan Telang Usan (2) sementara Lawas, Limbang dan Saratok (1).

JPBNS berkata dengan jumlah kes baharu itu ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak meningkat kepada 103,048.

Mengenai lima kematian direkodkan hari ini, ia sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 508 kematian.

Bagi kematian ke-504 ia melibatkan lelaki berusia 64 tahun dari Sibu, yang disahkan positif COVID-19 pada 22 Ogos dan kes mempunyai penyakit Crohn.

“Manakala kematian ke-505 melibatkan lelaki berusia 44 tahun dari Kuching yang disahkan positif COVID-19 pada 20 Ogos dan tidak mempunyai komorbid.

“Bagi kes kematian ke-506 juga melibatkan lelaki dan berusia 58 tahun dari Serian yang disahkan positif pada 31 Julai dan mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang kronik” katanya.

Kematian ke-507 melibatkan wanita dari Kuching berusia 99 tahun dimana kes disahkan positif pada 23 Ogos 2021 dan mempunyai penyakit darah tinggi serta kencing manis.

Sementara kes kematian ke-508 melibatkan lelaki berusia 63 tahun dari Samarahan dan disahkan positif COVID-19 pada 22 Ogos. Kes mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit kronik hati, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang kronik.