Berita

Kawasan Di DUN Simanggang Akan Terus Dibangunkan
Tarikh : 26 Aug 2021  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak
 

SIMANGGANG: Satu mesyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kaum Cina Simanggang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN N32 Simanggang yang dipengerusikan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis pada Selasa.

Mesyuarat itu diadakan bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN-12) sambil bertukar pandangan dan fikiran di kalangan ahli dalam pertubuhan.

Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang juga berkongsi garis panduan kepada setiap pengerusi mengenai peranan dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan.

Beliau juga menegaskan dakwaan mengatakan tidak ada pembangunan di kawasannya adalah tidak benar dan itu hanyalah merupakan cara pembangkang untuk menghasut rakyat.

“Pembangunan di Simanggang akan diteruskan dan apa yang boleh dilakukan setiap ahli dalam JKKK adalah menyampaikan keberadaan pembangunan yang nyata,” katanya.

Salah satu projek yang merupakan bentuk pembangunan di Simanggang adalah projek perparitan dan saliran bagi memastikan penyelesaian kepada aduan penduduk yang melaporkan kawasan kerap banjir ketika hujan lebat ditambah dengan fenomena pasang besar yang berlaku.

“Manakala projek menaik taraf tebingan Batang Lupar yang di peringkat hampir siap merupakan projek pembangunan yang nyata dan diharap dapat merancakkan ekonomi berasaskan industri pelancongan di Simanggang.

“Saya berterima kasih kepada penduduk di Bahagian Sri Aman kerana telah memberi liputan baik berkenaan kecantikan projek tersebut,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang berjumlah RM20,000 kepada Persatuan Ketua Masyarakat Kaum Cina Daerah Sri Aman.-EDISI UKAS