Berita

COVID-19: 2,522 kes baharu, kanak-kanak 8 tahun antara dua meninggal dunia
Tarikh : 30 Aug 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun dari Serian antara dua korban COVID-19 di Sarawak hari ini. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata kanak-kanak tersebut disahkan positif pada 21 Ogos dilaporkan meninggal di Hospital Serian. 

“Tiada sejarah penyakit yang dikenal pasti melibatkan kanak-kanak itu,” katanya menambah satu lagi kematian melibatkan lelaki tempatan berusia 59 tahun dari Sibu dan dilaporkan meninggal di Hospital Sibu. 

Mengenai kes baharu COVID-19 pula, sebanyak 2,522 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan keseluruhan kes kini meningkat kepada 112,245. 

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 2, 520 atau 99.92 peratus kes adalah daripada kategori 1 dan 2, manakala 0.08 peratus atau 2 kes merupakan kategori 3 hingga 5. 

“Kuching masih kekal merekodkan kes harian tertinggi 1,316 kes diikuti Serian (250), Bau (179), Sibu (157), Lundu (89), Tebedu (63), Tatau (50), Sri Aman (48), Bintulu (46), Mukah (34), Miri (32), Samarahan (31), Song (31), Pusa (31) dan Subis (26). 

“Lain-lain kes dikesan di Selangau (23), Simunjan (18), Asajaya (16), Betong (13), Lawas (13), Limbang (8), Kanowit (8), Meradong (7), Saratok (5), Sarikei (5), Belaga (5), Kapit (4), Julau (3), Matu (3), Pakan (2) dan Sebauh (2). 

“Manakala Beluru, Lubok Antu, Dalat dan Daro masing-masing merekodkan satu kes baharu,” katanya. 

Dalam pada itu, terdapat 832 kes pulih dan dibenar discaj menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kini seramai 87,861 orang dan jumlah kes masih aktif 23,664.