Berita

Varian Delta: 99 peratus pesakit yang divaksin kategori 1, 2
Tarikh : 30 Aug 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian (gambar) berkata 99 peratus pesakit COVID-19 yang telah divaksin adalah dalam kategori 1 dan 2 walaupun dijangkiti varian Delta. 

Menurut Dr Sim, berdasarkan pemerhatian tempatan semasa serta konsisten dengan pengalaman di luar negara, 99 peratus pesakit COVID-19 dalam kumpulan ini akan pulih. 

“Oleh kerana kebanyakan mereka yang dijangkiti COVID-19 selepas divaksin mengalami gejala ringan atau tidak bergejala, satu-satunya cara untuk mendiagnosis COVID-19 adalah ujian RT-PCR (PCR) atau RTK Antigen (RTK-Ag). 

“Tujuan utama ujian ini adalah untuk tidak menyebar jangkitan kepada orang lain dan menghentikan penularan,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini. 

Tambah Dr Sim beliau berterima kasih kepada rakyat Sarawak atas persefahaman, kerjasama, beratur panjang di pusat ujian awam dan swasta, menentukan positif atau tidak, supaya tidak menyebarkan jangkitan kepada orang lain. 

Katanya, kita masih perlu berjaga-jaga tetapi jangan panik atau keliru dengan berita palsu dan memainkan peranan untuk mengurangkan penularan komuniti. 

Dengan itu katanya, rakyat akan dapat meneruskan kehidupan yang selamat dan sistem hospital serta penjagaan kesihatan tidak terbeban. 

Ramai doktor dan pasukan mereka katanya, bekerja sehingga jam 3 hingga 4 pagi untuk melengkapkan siasatan kes. Ini bukan sahaja luar biasa tetapi benar-benar di luar waktu tugas mereka. 

Jelas Dr Sim lagi, kes COVID-19 yang direkodkan semalam (28 Ogos) adalah daripada   jangkitan komuniti tempatan (kluster keluarga, kluster tempat kerja dan kluster sosial) dalam tempoh 14 hari lepas. 

“Selepas 18 bulan COVID-19, tanpa mengira varian, sekurang-kurangnya kita memainkan peranan kita, mendisiplinkan diri dan mengamalkan langkah-langkah bukan farmaseutikal dan kesihatan awam walaupun selepas dua dos vaksin. 

“Kita perlukan bantuan setiap orang. Virus sentiasa berubah untuk bertahan hidup. Anda dan saya juga perlu melakukan yang sama untuk bertahan hidup sebagai manusia,” kata Dr Sim.