Berita

COVID-19: 2,285 kes baharu, dua lagi kematian dilaporkan di Sarawak
Tarikh : 01 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sarawak merekodkan 2,285 kes baharu COVID-19 hari ini dengan 99.56 peratus daripadanya merupakan kes kategori satu dan dua.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya hari ini berkata dengan penambahan 2,285 kes baharu hari ini, jumlah kumulatif COVID-19 dikesan di negeri ini setakat ini meningkat kepada 116,558.

Daerah Kuching terus mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi iaitu 1,129 diikuti Bau (228), Serian (113), Lundu (93), Samarahan (81), Bintulu (76), Sibu (71), Mukah (61), Simunjan (60), dan Subis (59).

“Daerah lain yang turut merekodkan kes COVID-19 hari ini ialah Miri (54), Limbang (41), Song (34), Tebedu (32), Pusa (21), Tatau (20), Betong (16), Sri Aman (15), Kapit (13), Asajaya (10) dan Lubok Antu (10).

“Kes positif COVID-19 turut dikesan di Bukit Mabong(8), Sarikei (7), Belaga (7), Selangau (7), Beluru (5), Kanowit 4), Dalat  (3), Matu (2), Meradong, Lawas, Pakan dan Sebauh (masing-masing satu kes),” jelasnya.Memperincikan kes COVID-19 baharu di Sarawak hari ini, JPBNS berkata 1,927 daripada 2,285 kes adalah kategori 1 ( tiada gejala), 348 pula kategori 2 (gejala ringan), dua lagi kategori 3 (jangkitan paru-paru) manakala kategori 4 (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan kategori 5 (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator) masing-masing empat kes.

JPBNS turut memaklumkan dua lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, iaitu kematian ke-525 melibatkan wanita warga emas (81 tahun) dari Kuching yang meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak.

Mangsa katanya mempunyai ko-morbid darah tinggi serta kencing manis dan disahkan positif pada 30 Ogos 2021.

“Kematian ke-526 pula seorang lelaki, 60 tahun dari Kapit yang disahkan positif COVID-19 pada 16 Ogos 2021 dan meninggal dunia di Hospital Kapit. Mangsa ada ko-morbid darah tinggi dan dislipidemia,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, JPBNS memaklumkan setakat ini, terdapat 25,907 kes COVID-19 yang masih aktif di Sarawak manakala jumlah kumulatif kes telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital 89.919 atau 77.15 peratus.

“Pada hari ini, 1,580 kes telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital yang mengendalikan kes COVID-19 di seluruh negeri,” ujarnya.