Berita

2,414 kes COVID-19, tujuh kematian hari ini
Tarikh : 02 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sejumlah 2,407 kes atau 99.71 peratus daripada 2,414 kes harian COVID-19 yang dilaporkan di Sarawak hari ini melibatkan kategori satu dan dua.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata, manakala tiga kes merupakan kategori empat dan empat kes kategori lima.

Untuk rekod, kategori satu bermaksud tiada gejala, kategori dua (gejala ringan), kategori tiga (pneumonia atau radang paru-paru), kategori empat pula merupakan kes jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan terapi oksigen, manakala kategori lima kes kritikal dan memerlukan bantuan ventilator.

“Daripada 2,414 kes COVID-19 yang dilaporkan hari ini, daerah Kuching merekodkan kes harian tertinggi dengan 1,031 kes diikuti Bintulu (174), Sibu (121), Subis (115), Betong (107), Sri Aman (92) dan Bau (91).

“Lain-lain kes dikesan di Simunjan (76), Samarahan (73), Asajaya (64), Serian (60), Tebedu (55), Limbang (53), Song (49), Miri (33), Kapit (33), Tatau (32), Saratok (31), Lawas (21), Selangau (19), Lubok Antu (17), Lundu (13), Pusa (13) dan Sarikei (11),” katanya hari ini.

JPBNS menambah, turut mencatatkan kes ialah Belaga (6), Kanowit (6), Sebauh (5), Mukah (4), Bukit Mabong (4), Pakan (3), Dalat (1) dan Meradong (1).

Dengan pertambahan kes COVID hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak kini 118,972.

Sementara itu, JPBNS memaklumkan terdapat tujuh kematian baharu akibat COVID-19 menjadikan keseluruhan kes kematian kini meningkat kepada seramai 533 orang.

Kes kematian itu katanya, melibatkan empat perempuan dan tiga lelaki tempatan berusia antara 62 hingga 85 tahun.

“Empat kematian dilaporkan meninggal di Hospital Umum Sarawak , dua di Hospital Sarikei dan satu di Hospital Sibu,” katanya.

Terdapat 2,238 kes pulih menjadikan jumlah kes pulih kini seramai 92,156 orang dengan jumlah kes masih aktif seramai 26,075.