Berita

COVID-19: Sarawak rekod 2,992 kes baharu, tujuh kematian
Tarikh : 03 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

UCHING: Sarawak merekodkan 2,992 kes baharu COVID-19 hari ini, angka tertinggi setakat ini dengan 99.8 peratus daripadanya atau 2,986 kes adalah kategori 1 dan 2. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata hanya enam kes atau 0.20 peratus daripada kategori 3 hingga 5. 

“Kuching masih merekodkan kes harian tertinggi 1,342 diikuti Sibu (282), Samarahan (147), Lundu (134), Betong (117), Bintulu (110), Lubok Antu (105), Belaga (93), Pusa (77), Simunjan (72), Bau (71), Sri Aman (64), Serian (50) dan Subis (40). 

“Lain-lain kes dikesan di Bukit Mabong (38), Asajaya (31), Miri (31), Kapit (29), Tatau (27), Song (25), Meradong (23), Sarikei (15), Kanowit (11), Pakan (11), Selangau (10), Mukah (9), Julau (9), Saratok (4), Sebauh (4) dan Tebedu (4). 

“Manakala Lawas merekodkan dua kes dan masing-masing satu kes di Kabong, Dalat, Beluru, Marudi dan Telang Usan menjadikan keseluruhan kes positif di Sarawak kini 121,964 kes,” katanya. 

JPBNS turut memaklumkan terdapat tujuh kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan di Sarawak menjadikan jumlah kematian kini seramai 540 orang. 

Lima daripada kes kematian ini melibatkan perempuan tempatan dan dua lelaki tempatan berumur antara 40 hingga 78 tahun. 

“Tiga daripada kematian ini direkodkan di Hospital Umum Sarawak dan masing-masing satu di Hospital Serian, Hospital Kapit, Hospital Sibu dan Hospital Miri,” katanya menambah semua kematian masing-masing mempunyai latar belakang penyakit lain. 

Dalam pada itu terdapat 968 kes pulih baharu dan dibenar discaj menjadikan jumlah kes pulih kini meningkat kepada seramai 93,123 orang atau 76.35 peratus daripada keseluruhan kes positif. 

Jumlah kes masih aktif 28,091 dan mendapat rawatan serta diasingkan di wad hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC). 

Sementara itu Daerah Bukit Mabong telah bertukar ke status Merah setelah merekodkan 58 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas. 

Jumlah daerah berstatus Merah di Sarawak kini meningkat kepada 31, hanya tiga daerah berstatus Jingga, lima daerah berstatus Kuning dan satu daerah berstatus Hijau.