Berita

88.3 peratus rakyat Sarawak lengkap dos vaksin setakat 1 September
Tarikh : 03 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Kira-kira 88.3 peratus atau 1,824,876 individu layak di Sarawak telah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat 1 September 2021.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi info grafik disediakan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sementara kira-kira 91 peratus atau 1,880,664 individu pula telah menerima dos pertama mereka.

"Di Sarawak secara keseluruhan dianggarkan 2,066,000 populasi di negeri ini layak menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan tiga bahagian merekodkan peratusan penduduk lengkap dua dos melebihi seratus peratus setakat 1 September.

"Antara tiga bahagian berkenaan adalah Samarahan yang merekodkan peratusan tertinggi iaitu mencapai 106 peratus, diikuti Serian (104 peratus) dan Bintulu (102 peratus)," katanya.

Manakala satu bahagian iaitu Mukah satu-satunya yang merekodkan peratusan penduduk lengkap dua dos 90.2 peratus.

Lima bahagian lagi merekodkan peratusan penduduk lengkap dua dos melebihi 80 peratus iaitu Sibu (88.6 peratus), Miri (88.3 peratus), Betong (86.8 peratus), Kuching (84.9 peratus) dan  Sarikei (81.5 peratus).

Sementara tiga bahagian merekodkan peratusan penduduk lengkap dua dos dibawah 80 peratus iaitu Limbang (78.8 peratus), Sri Aman (75.2 peratus) dan Kapit (69 peratus).