Berita

COVID-19: Sarawak rekod 3,747 kes baharu dan 15 kematian, tertinggi setakat ini
Tarikh : 06 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Kes COVID-19 di Sarawak meningkat melepasi angka tiga ribu hari ini dengan 3,747 kes baharu direkodkan, tertinggi setakat ini. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata kes kematian juga meningkat dengan 15 kes direkodkan hari ini. 

Ini menjadikan keseluruhan kes positif di Sarawak kini sebanyak 130,898 kes manakala kes kematian meningkat kepada 564 orang. 

“Daripada 3,747 kes baharu yang dilaporkan, 99.73 peratus atau 3,737 kes adalah kategori 1 dan 2.

“Manakala 10 kes atau 0.27 peratus adalah kategori 3 (1 kes), kategori 4 (3 kes) dan kategori 5 (6 kes),” katanya. 

Kuching masih merekodkan kes harian tertinggi 1,311 kes diikuti Serian (397), Sibu (254), Betong (214), Samarahan (191), Mukah (151), Pusa (142), Bintulu (129), Bau (123), Sri Aman (82), Song (81), Asajaya (75), Tatau (75), Pakan (72), Miri (66) dan Saratok (50). 

Lain-lain kes dikesan di Simunjan (49), Tebedu (40), Lundu (33), Lubok Antu (27), Kanowit (26), Dalat (25), Limbang (22), Sarikei (20), Subis (20), Selangau (17), Matu (14), Beluru (12), Kapit (11), Belaga (7), Kabong (3), Julau (3), Lawas (2), Sebauh (2) dan Meradong (1). 

Mengenai 15 kes kematian yang dilaporkan ia melibatkan tujuh perempuan dan lapan lelaki masing-masing berumur antara 24 hingga 97 tahun. 

Sembilan daripada kematian katanya dari daerah Kuching, dua dari Serian dan masing-masing satu kematian di Samarahan, Betong, Saratok dan Sibu. 

Dalam pada itu terdapat 1,769 kes pulih dan dibenar discaj menjadikan keseluruhan kes pulih kini seramai 101,126 orang atau 76.49 peratus daripada keseluruhan kes positif di Sarawak. 

Jumlah kes masih aktif 29,993 orang dan dirawat serta diasingkan di wad hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC).