Berita

Program vaksinasi individu bawah 18 tahun bermula Rabu ini di Sarawak - Uggah
Tarikh : 06 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sarawak kini sedang membuat persiapan akhir untuk memvaksin mereka yang berusia di bawah 18 tahun bermula Rabu ini agar mendapat perlindungan daripada COVID-19, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam telah mengumumkan bahawa program di seluruh negara itu akan bermula dengan Sarawak pada Rabu ini.

"Ia berikutan hasil capaian sasaran vaksinasi untuk rakyat dewasa Sarawak yang telah mencecah 80 peratus," katanya.

Uggah menambah, setelah selesai semua persediaan berkenaan, perincian mengenainya akan diumumkan kemudian.

Beliau pada masa sama merayu agar sekumpulan kecil rakyat yang layak namun masih enggan divaksin untuk segera berbuat demikian.

"Adalah diingatkan esok (6 September) merupakan hari terakhir untuk mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19.
 
"Mereka boleh terus datang ke PPV atau klinik kesihatan berdekatan tanpa memerlukan janji temu," tegasnya lagi.

Sebanyak 62 buah pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan klinik kesihatan masih aktif beroperasi di seluruh negeri.

PPV berkenaan adalah Klinik Kesihatan Petra Jaya, Klinik Kota Sentosa, Klinik Kesihatan Jalan Masjid, Klinik Kesihatan Tanah Puteh, Klinik Kesihatan Batu Kawa untuk daerah Kuching.

Sementara bagi daerah Bau, PPV berkenaan adalah Klinik Kesihatan Singai, manakala daerah Lundu pula di Dewan Suarah Lundu.

Bagi bahagian Samarahan, orang ramai boleh berkunjung ke PPV Klinik Kesihatan Kota Samarahan (Samarahan), Klinik Kesihatan Asajaya (Asajaya), KKIA Simunjan Bandar, Klinik Kesihatan Sebuyau, Klinik Kesihatan Munggu Lalang, Klinik Kesihatan Gedong dan Klinik Kesihatan Sebangan di daerah Simunjan.

PPV di bahagian Serian pula adalah di Dewan Masyarakat Serian, Klinik Kesihatan Siburan dan Klinik Kesihatan Tebedu.

Sementara bagi bahagian Sri Aman, PPV adalah di Klinik Kesihatan Lingga, Klinik Kesihatan Skrang, Dewan Suarah Sri Aman dan Dewan Sri Pantu (daerah Sri Aman) dan daerah Lubok Antu di Dewan Kompleks Sukan Majlis Daerah Lubok Antu dan Dewan Serbaguna Engkelili
 
PPV di bahagian Betong pula di Dewan Panglima Rentap (Betong), Dewan Sri Krian (Saratok), Dewan Masyarakat Kalok, Pusa, Dewan Al Amin Kampung Beladin (Pusa) dan Dewan Balai Polis Kabong (Kabong).

Bahagian Sarikei pula, PPV adalah di Dewan Suarah Sarikei (Sarikei), Dewan Masyarakat Meradong (Bintangor) Dewan Masyarakat Julau (Julau) dan Dewan Masyarakat Pakan (Pakan).

PPV di bahagian Sibu disediakan di Hospital Kanowit (Kanowit), Klinik Kesihatan Selangau (Selangau), Klinik Kesihatan Sibu Jaya dan Klinik Kesihatan Jalan Lanang (Sibu) dan dalam bahagian Kapit disediakan Dewan Sri Balleh (Kapit), Klinik Kesihatan Song (Song) dan Klinik Kesihatan Sungai Asap di Belaga.

Sementara bahagian Mukah pula di KKIA Mukah (Mukah), Klinik Kesihatan Daro (Daro), KKIA Dalat (Dalat), Klinik Kesihatan Tian (Matu) dan Klinik Kesihatan Belawai (Tanjung Manis).

Bagi bahagian Bintulu, PPV terletak di Pusat Sukan BDA Kidurong (Bintulu), Klinik Kesihatan Tatau (Tatau) dan Klinik Kesihatan Sebauh (Sebauh) sementara bahagian Miri di Dewan Eastwood Valley, Dewan Masyarakat Sepupok Niah, Curtin REC Hall, Universiti Curtin Malaysia (Miri).

PPV juga diwujudkan di Dewan Masyarakat Marudi (Marudi), Dewan Terbuka Long Lama (Telang Usan), Dewan Masyarakat Bekenu (Subis) dan Dewan Masyarakat Beluru (Beluru).

Untuk bahagian Limbang, PPV adalah di Dewan Suarah Limbang dan Dewan Masyarakat Medamit, sementara daerah Lawas disediakan di Institut Latihan Islam Malaysia, Dewan Masyarakat Long Lama Tuma, Dewan Masyarakat Zon Ulu Merapok, Lawas Dewan Masyarakat Sundar dan Dewan Masyarakat Trusan di daerah Lawas.

Uggah turut mengingatkan mereka yang telah menerima dos pertama vaksin berkenaan untuk hadir semula ke tempat sama 21 hari kemudian untuk mendapatkan dos kedua.

Tegasnya, mereka yang belum mendapatkan vaksin COVID-19 bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah orang sekeliling.
 
"Apatah lagi Sarawak masih merekodkan banyak kes positif serta varian Delta yang kian menular dan lebih membahayakan kerana boleh membawa maut," katanya.

Golongan ingkar itu juga akan kehilangan banyak keistimewaan, dan kelebihan ditawarkan kepada mereka yang lengkap divaksin.

Uggah menambah, sehingga hari ini, sejumlah 3,716,143 dos vaksin telah diberikan kepada orang yang layak di Sarawak.

"Ini termasuk 1,883,698 iaitu (91,2 peratus) untuk dos pertama dan 1,832,445 (88,7 peratus) bagi dos kedua," tambahnya.